Bil. 11 - PEREMPUAN BERGINCU : Adakah Dilarang?
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Kecantikan sering dikaitkan dengan kaum PEREMPUAN. Ini kerana sifat semulajadi mereka yang suka kelihatan cantik sehingga ada sesetengah mereka yang sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan rawatan kecantikan seperti perawatan wajah, perawatan tubuh badan dan seumpamanya. Tidak kurang pula yang sanggup membeli barangan kosmetik yang nilainya mencecah ratusan bahkan ribuan ringgit demi untuk memastikan dirinya kelihatan cantik. Sementara yang tidak mampu akan berbelanja seadanya. Semua ini dilakukan semata-mata untuk berpenampilan cantik serta sedap dipandang mata.
Hukum Berhias Bagi Kaum PEREMPUAN
Islam MENGHARUSKAN kaum PEREMPUAN berhias bagi meraikan fitrah manusia. Sebagai contoh, Islam MENGHARUSKAN PEREMPUAN berhias memakai sutera dan emas asalkan tidak berlebihan dan bukan untuk bermegah-megah atau selama mana ianya tidak bertentangan dengan syarak seperti berhias sehingga mendatangkan fitnah atau menimbulkan keghairahan lelaki.
Berhias Dengan Mengoles GINCU Di Bibir
Salah satu barangan kecantikan kaum PEREMPUAN pada zaman ini adalah GINCU atau lipstik. Ianya adalah bahan yang digunakan untuk mewarnai bibir agar bibir tidak pucat dan kelihatan segar. Maka timbul persoalan mengenai hukum BERGINCU. Apakah hukum bagi PEREMPUAN yang sudah berkahwin dan PEREMPUAN bujang atau yang tidak bersuami memakai GINCU atau lipstik?
Perlu diingat bahawa hukum BERGINCU atau memakai lipstik boleh dikaitkan dengan hukum berinai dan berhias bagi PEREMPUAN yang tidak berihram.
i. Hukum BERGINCU Bagi PEREMPUAN Bersuami
Dalam kitab al-Majmu‘, Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan: "Jika seorang PEREMPUAN itu mempunyai suami, DISUNATKAN baginya berinai pada semua masa, kerana berinai itu adalah hiasan dan kecantikan, dan dia (PEREMPUAN yang bersuami) DISUNATKAN berhias dan bercantik-cantik untuk suaminya sepanjang masa”.
Dari penjelasan tersebut, maka tidaklah dilarang PEREMPUAN bersuami berinai bagi tujuan berhias dan bercantik-cantik untuk suaminya malahan ianya adalah SUNAT.
ii. Hukum BERGINCU Bagi PEREMPUAN Yang Tidak Mempunyai Suami
Adapun bagi PEREMPUAN bujang atau yang tidak bersuami adalah MAKRUH berinai kerana ditakuti akan mendatangkan fitnah kepada dirinya atau kepada orang lain. Ini turut dijelaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah: "Jika seorang PEREMPUAN itu tidak mempunyai suami dan dia bukan hendak berihram, adalah MAKRUH baginya berinai tanpa ada sebab keuzuran kerana ditakuti akan berlaku fitnah ke atasnya dengan sebab inai dan berlaku fitnah ke atas orang lain dengan sebab dia berinai itu”.
Mengambil kira KEHARUSAN berinai dan berhias sebagaimana yang telah dijelaskan, maka tidaklah dilarang PEREMPUAN bersuami memakai GINCU bagi tujuan berhias dan bercantik-cantik untuk suaminya, selama mana GINCU itu sendiri suci yakni bukan dari benda najis atau bercampur dengan bahan najis. Adapun PEREMPUAN yang bujang atau yang tidak bersuami adalah MAKRUH memakai GINCU kerana ditakuti boleh menimbulkan fitnah.
Tetapi hukum MAKRUH akan bertukar menjadi HARAM bagi PEREMPUAN bujang atau yang tidak bersuami sekiranya dengan BERGINCU itu boleh menimbulkan fitnah, seperti boleh menarik perhatian kaum lelaki. Begitu juga bagi PEREMPUAN yang bersuami jika memakai GINCU tanpa keizinan suami, hukumnya adalah HARAM.
PEREMPUAN Berhias Sehingga Menarik Perhatian Lelaki
Islam melarang kaum PEREMPUAN melakukan apa jua perkara yang boleh menarik perhatian atau menimbulkan keghairahan kaum lelaki seperti berhias dengan berlebihan, memakai wangi-wangian di hadapan lelaki asing, memakai pakaian yang kurang sopan dan memakai perhiasan yang boleh menarik perhatian kaum lelaki. Di dalam al-Qur’an, banyak disebutkan mengenai dengan larangan PEREMPUAN berhias sehingga menarik perhatian lelaki asing dan menimbulkan keghairahan mereka. Antaranya:
i. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: "Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zhahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka” (Surah an-Nuur:31).
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullah, Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan kaum PEREMPUAN supaya tidak melihatkan perhiasan mereka kepada orang lain kecuali kepada mahramnya. Terkecuali larangan tersebut pada perhiasan yang bukan pada anggota aurat iaitu pada wajah dan kedua tapak tangan. ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha menceritakan tentang kejadian di mana saudaranya Asma binti Abi Bakar Radhiallahu ‘anha pergi menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam dengan memakai pakaian yang tipis. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam memalingkan wajahnya, lantas Baginda bersabda:
Maksudnya: "Wahai Asma’, sesungguhnya apabila seorang PEREMPUAN sudah haidh (baligh), tidak elok untuk dilihat daripadanya kecuali ini dan ini”. Dan Baginda Shallallahu ‘alaihi Wasallam mengisyaratkan kepada wajahnya dan kedua tapak tangannya" (HR.Abu Daud).
ii. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: "Dan jangan mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka” (Surah an-Nur:31).
Ayat di atas jelas menunjukkan larangan menghentakkan kaki apabila berjalan dengan tujuan memperdengarkan bunyi gelang kakinya. PEREMPUAN yang melakukan sedemikian dengan tujuan bermegah-megah dan mempamerkan kepada kaum lelaki, maka hukumnya HARAM dan tercela.
Ibnu ‘Abbas dan Qatadah Rahimahumallah mengatakan bahawa larangan tersebut adalah disebabkan kaum PEREMPUAN pada ketika itu apabila melintasi orang, mereka akan menghentakkan kaki supaya didengar bunyi perhiasan kaki itu. Dan telah maklum bahawa lelaki yang mudah terangsang dengan PEREMPUAN, apabila mendengar bunyi perhiasan itu, akan membuatnya semakin ingin untuk melihat PEREMPUAN tersebut. Maka berdasarkan ini, dilaranglah kaum PEREMPUAN melakukan perkara yang boleh menarik perhatian kaum lelaki sama ada untuk diketahui perhiasannya yang terdiri dari barang-barang kemas ataupun untuk tujuan yang lain.
Penutup
Keinginan naluri PEREMPUAN untuk berhias agar kelihatan cantik dan elok dipandang mata tidak pernah dihalang oleh Islam kerana ianya adalah agama yang selaras dengan fitrah manusia. Namun ini tidaklah bermakna seorang PEREMPUAN itu boleh berhias diri mengikut seleranya dengan mengenepikan apa yang telah dibataskan dan ditetapkan oleh syarak.
Bagi PEREMPUAN bersuami, Islam telah menetapkan supaya kecantikannya hanyalah dipamerkan untuk seorang lelaki yang menjadi pasangan hidupnya iaitu suami. Hikmah DIHARUSKAN bagi PEREMPUAN bersuami berhias adalah supaya dia sentiasa nampak menarik di mata suaminya dan sekaligus sebagai salah satu luahan perasaan daripada isteri itu bahawa dia menyayangi suaminya. Dengan demikian, ia akan lebih mengerat dan mengekalkan hubungan kasih sayang di antara suami isteri itu. Hubungan kasih sayang inilah antara matlamat syarak dalam hidup berumah tangga. Oleh itu, seorang PEREMPUAN yang betul-betul memahami matlamat tersebut akan berhias untuk suaminya ketika berada di rumah, dan bukannya berhias apabila hendak keluar dari rumah.
Batasan berhias yang ditetapkan oleh syarak bukanlah sebagai satu penyekatan, tetapi sebagai pemelihara diri dan kemurnian akhlak seperti mengelak diri dari fitnah atau gangguan lelaki asing, menjauhkan diri dari sifat berlebih-lebihan atau bermegah-megahan dan sebagainya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment