Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Pastinya Ramadhan yang baru sahaja berlalu, jika dilaksanakan dengan penuh penghayatan dan keikhlasan, akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa setiap individu selain menambahkan lagi ketaqwaan. Apa yang diharapkan ialah segala amalan yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadhan al-Mubarak itu tidak akan ditinggalkan dan dilupakan begitu sahaja apabila Ramadhan berlalu pergi. Antara amalan yang masih terus ditekuni setelah berlalunya bulan Ramadhan ialah PUASA SUNAT. PUASA SUNAT masih terus dikerjakan oleh para Solehin di bulan Syawal. Syawal merupakan bulan kemenangan kerana merayakan kejayaan setelah BERPUASA di bulan Ramadhan.
Kita tahu bulan Ramadhan merupakan bulan mudah untuk mengaut pahala kerana setiap amal ibadah yang dilakukan oleh seseorang dengan penuh keikhlasan di bulan ini dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan pahala yang berlipat kali ganda. Walau bagaimanapun pahala yang banyak di bulan Ramadhan tidaklah terputus begitu sahaja dengan berlalunya bulan Ramadhan. Seseorang yang menekuni bulan Ramadhan dengan BERPUASA penuh satu bulan akan dapat melanjutkan meraih keuntungan pahala apabila dia melaksanakan PUASA SUNAT di bulan Syawal.
Memandangkan kita berada dalam bulan Syawal, maka antara PUASA SUNAT yang khusus dikerjakan di bulan ini ialah PUASA SUNAT ENAM. Bagi mereka yang mempunyai kebiasaan BERPUASA SUNAT ENAM, ia bukan suatu perkara baru. Oleh yang demikian, jangan ada yang terlepas tanpa mengerjakan PUASA SUNAT ENAM pada Syawal kali ini. Rebutlah peluang untuk melaksanakannya kerana ia datang sekali sahaja dalam setahun.
Dengan kata lain, bulan Ramadhan yang baru saja berlalu selain banyak membentuk dan mendidik kita, memberi peluang pula bagi kita merebut pahala berlipat ganda sekaligus meningkatkan keimanan serta ketaqwaan. Kini dengan tibanya bulan Syawal iaitu bulan kembali kepada fitrah, boleh menjadi pengukur sejauh mana bulan Ramadhan yang baru saja berlalu telah memberi kesan dalam jiwa kita. Kalau di bulan Ramadhan kita biasanya merebut peluang untuk mengerjakan amalan-amalan SUNAT seperti Sembahyang Tarawih, Witir, bertadarus atau membaca al-Qur’an, bersedekah dan sebagainya, adakah di bulan-bulan selepas Ramadhan kita akan meneruskan amalan tersebut?
Antara amalan-amalan SUNAT yang menjadi rebutan para solehin di bulan Syawal ini ialah amalan PUASA SUNAT ENAM. Apakah dia PUASA SUNAT ENAM itu?
Definisi PUASA SUNAT ENAM
PUASA SUNAT ENAM di bulan Syawal ialah PUASA SUNAT yang dikerjakan sebanyak ENAM hari di bulan Syawal selepas Hari Raya Fitrah setelah selesai menjalankan kewajipan ibadah PUASA di bulan Ramadhan. Ianya SUNAT dan lebih AFDHAL dikerjakan secara berturut-turut di awal bulan Syawal iaitu bermula dari 2 haribulan Syawal, dan boleh juga dikerjakan secara berselang-seli ataupun dikerjakan bukan pada awal bulan Syawal. Bagaimanapun para ulamak berbeza pendapat mengenai waktu atau masa mengerjakan PUASA SUNAT ENAM ini. Secara ringkas dijelaskan pendapat tersebut seperti berikut:
1. Sebahagian besar ulamak berpendapat PUASA SUNAT ENAM dikerjakan secara berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu mulai Hari Raya kedua dan
seterusnya.
2. Sebahagian ulamak muta’akhirin pula berpendapat PUASA SUNAT ENAM itu HARUS dikerjakan secara tidak berturut-turut seperti berselang-seli
atau berasingan sepanjang bulan Syawal. Samada pada minggu pertama, kedua, ketiga atau minggu terakhir bulan Syawal.
Bagaimanapun mengerjakan PUASA SUNAT ENAM berturut-turut selepas Hari Raya iaitu mulai hari raya kedua adalah lebih AFDHAL kerana menyegerakan melaksanakan ibadat.
Orang-Orang Yang Dituntut Mengerjakan PUASA SUNAT ENAM
PUASA SUNAT ENAM di bulan Syawal SUNAT dikerjakan bagi orang yang telah BERPUASA penuh bulan Ramadhan. Begitu juga bagi orang yang TIDAK BERPUASA penuh Ramadhan kerana sebab-sebab yang DIHARUSKAN oleh syarak. Maksud sebab-sebab yang DIHARUSKAN oleh syarak ialah seperti orang perempuan yang haidh atau nifas, orang sakit atau orang musafir.
Bolehkah Orang Yang Meninggalkan PUASA Ramadhan Melakukan PUASA SUNAT ENAM?
Apabila disebut mengenai PUASA SUNAT ENAM di bulan Syawal dan kaitannya dengan BERPUASA sebulan penuh di bulan Ramadhan, timbul persoalan, adakah mereka yang TIDAK melaksanakan PUASA penuh di bulan Ramadhan sama ada kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak atau tidak juga DIHARUSKAN BERPUASA SUNAT ENAM ?
Mereka yang meninggalkan PUASA sama ada kerana keuzuran yang DIHARUSKAN syarak atau tidak, WAJIB mengqadha PUASA yang ditinggalkannya. Oleh itu, bagi orang yang TIDAK BERPUASA sebulan penuh Ramadhan dan ingin melakukan PUASA SUNAT ENAM hendaklah terlebih dahulu melihat sebab-sebab dia meninggalkan PUASA tersebut. Penjelasannya seperti berikut:
i. Orang Yang Meninggalkannya Dengan Sengaja
Orang yang meninggalkan PUASA Ramadhan dengan sengaja tanpa keuzuran yang DIHARUSKAN oleh syarak, WAJIB menyegerakan qadha PUASA yang ditinggalkan itu dan HARAM baginya melakukan PUASA-PUASA SUNAT termasuklah PUASA SUNAT ENAM kecuali setelah dia selesai mengqadha PUASANYA, kerana PUASA Ramadhan yang ditinggalkan dengan sengaja WAJIB diqadha dengan segera. Adapun menyegerakan mengqadha PUASA adalah satu amalan dan langkah yang terpuji, malahan dituntut oleh agama sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah dalam firmanNya yang tafsirnya: "Maka WAJIBLAH dia BERPUASA sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain" (Surah Al-Baqarah:184).
Sesiapa yang mahu menyegerakan qadha PUASA tersebut di bulan Syawal, maka qadha itu boleh dilakukan bermula pada hari raya kedua (2hb. Syawal) dan boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada hari-hari yang DIHARAMKAN BERPUASA seperti Hari Raya Fitrah, Hari Raya Haji atau pada Hari-Hari Tasyriq dan sebagainya dan ia WAJIB disegerakan sebelum masuk Ramadan yang baru.
Kewajipan mengqadha PUASA itu tidak kira sama ada PUASA itu ditinggalkan dengan sengaja atau kerana keuzuran kecuali orang-orang yang benar-benar tidak berdaya mengerjakannya seperti orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Mereka TIDAK DIWAJIBKAN mengqadha PUASA yang ditinggalkan itu tetapi WAJIB membayar fidyah sebagai ganti PUASA yang ditinggalkan. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang tafsirnya: "Dan WAJIB atas orang-orang yang tidak berdaya BERPUASA (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin" (Surah Al-Baqarah:184).
ii. Orang Yang Meninggalkan PUASA Disebabkan Keuzuran Yang DIHARUSKAN Oleh Syarak
Bagi orang yang TIDAK BERPUASA Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang DIHARUSKAN oleh syarak seperti haid dan nifas, musafir atau orang sakit adalah DISUNATKAN BERPUASA SUNAT ENAM sekalipun mereka masih mempunyai qadha. Walau bagaimanapun ganjaran pahala PUASA SUNAT ENAM bagi orang yang TIDAK BERPUASA penuh bulan Ramadhan tidak sama dengan ganjaran pahala bagi orang yang mengerjakan PUASA SUNAT ENAM selepas mengerjakan PUASA Ramadhan sebulan penuh.
Manakala bagi orang yang luput keseluruhan PUASA Ramadan (selama satu bulan) kerana keuzuran yang DIHARUSKAN oleh syarak, jika dia mengerjakan PUASA qadhanya pada bulan Syawal, DISUNATKAN (mustahab) ke atasnya mengqadha PUASA SUNAT ENAM itu dalam bulan Zulkaedah. Walau bagaimanapun, menurut ulamak dia juga mendapat ganjaran sebagaimana yang disebutkan oleh hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam iaitu orang yang BERPUASA Ramadan dan diikuti dengan PUASA SUNAT ENAM pada bulan Syawal diibaratkan BERPUASA selama satu tahun.
Cara BERPUASA SUNAT ENAM Bagi Orang Yang TIDAK BERPUASA Ramadhan Sebulan Penuh Kerana Uzur Syar‘ie
Terdapat beberapa cara boleh dilakukan oleh orang yang TIDAK BERPUASA Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang DIHARUSKAN oleh syarak dan tidak mahu terlepas peluang untuk melaksanakan PUASA SUNAT ENAM, iaitu seperti berikut:
i. PUASA Qadha Sebelum PUASA SUNAT ENAM
Melunaskan dahulu qadha PUASA Ramadhan di bulan Syawal dan setelah selesai barulah melaksanakan PUASA SUNAT ENAM.
ii. PUASA SUNAT ENAM Sebelum PUASA Qadha
Atau mendahulukan PUASA SUNAT ENAM hari di bulan Syawal dan seterusnya melaksanakan qadha PUASA sama ada di bulan Syawal atau pada
bulan-bulan yang lain sebelum tibanya Ramadhan akan datang.
Perkara ini dihukumkan MAKRUH kerana melambatkan qadha PUASA Ramadhan. Walau bagaimanapun diberi pahala SUNAT kerana PUASA SUNAT ENAM yang dilakukannya.
iii. Menyatukan Niat PUASA Qadha Dan PUASA SUNAT ENAM
Bagi orang yang meninggalkan PUASA Ramadhan yang disebabkan oleh keuzuran yang DIHARUSKAN oleh syarak, jika dia hendak melakukan qadha PUASA Ramadhan itu pada bulan Syawal, ia boleh dilakukan sekaligus dengan PUASA SUNAT ENAM. Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya, iaitu PUASA qadha dan PUASA SUNAT tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-duanya sekali (iaitu ganjaran PUASA qadha dan ganjaran PUASA SUNAT). HARUS berniat bagi kedua-dua PUASA iaitu PUASA qadha dan PUASA SUNAT dengan tujuan bagi melaksanakan kedua-dua tuntutan itu. Dengan demikian terlaksanalah PUASA qadha dan mendapat ganjaran SUNAT kerana BERPUASA SUNAT ENAM.
Sebagai contoh seseorang itu boleh berniat: "Sahaja aku PUASA esok hari mengqadha PUASA Ramadhan dan PUASA SUNAT ENAM bulan Syawal kerana Allah Ta‘ala”.
Akan tetapi jika dia berniat hanya bagi PUASA qadha atau bagi PUASA SUNAT ENAM sahaja, maka yang terlaksana adalah PUASA yang diniatkannya itu. Mengenai orang yang berniat PUASA WAJIB bersama PUASA SUNAT ini ada disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam fatwanya menjawab mengenai dengan seseorang yang berniat PUASA SUNAT Hari ‘Arafah atau PUASA-PUASA SUNAT yang lain seumpamanya dengan PUASA FARDHU seperti qadha Ramadhan atau PUASA nazar atau PUASA kaffarah:
Ertinya: "Jika diniatkan keduanya (PUASA SUNAT dan PUASA WAJIB) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya” (Al-Fatwa Al-Kubra:2/75).
Dengan kata lain, dalam menunaikan PUASA tersebut, jika dia berniat kedua-duanya sekali iaitu PUASA qadha dan PUASA SUNAT seperti PUASA Hari Arafah atau PUASA-PUASA SUNAT yang lain, maka dia akan mendapat ganjaran bagi PUASA SUNAT dan PUASA WAJIB tersebut. Tetapi jika dia berniat hanya bagi PUASA SUNAT sahaja atau PUASA WAJIB sahaja, maka dia hanya akan mendapat gambaran bagi PUASA yang diniatkannya sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan antara PUASA WAJIB dan PUASA SUNAT itu.
PUASA SUNAT Dan Jemputan Makan
Amalan berziarah atau berkunjung-kunjungan di Hari Raya Aidil Fitri khususnya dan sepanjang bulan Syawal amnya sudah menjadi adat bagi kita. Tuan rumah sudah pasti menghidangkan berbagai jenis juadah khususnya ketika mengadakan majlis rumah terbuka atau yang lebih biasa disebut dengan "open house". Bagi mereka yang sedang BERPUASA SUNAT ENAM, ini adalah satu dilema yang sukar dielakkan di hari raya ini, apatah lagi jika tuan rumah itu mengkhususkan jemputannya di waktu siang. Sehinggakan ada yang menjadikan alasan BERPUASA SUNAT itu untuk TIDAK menghadiri jemputan ataupun menjadikannya alasan untuk TIDAK BERPUASA SUNAT ENAM.
Dengan kata lain, sesetengah individu merasakan untuk mengqadha PUASA Ramadhan apatah lagi untuk BERPUASA SUNAT ENAM di bulan Syawal, dia bakal menghadapi beberapa rintangan. Ini kerana seperti yang kita semua maklumi, khususnya pada musim Hari Raya Aidilfitri, bagi kita orang Malaysia, amalan berziarah ke rumah saudara-mara dan sahabat-handai sudah menjadi adat dan kebiasaan. Di samping itu 'open house’ ataupun rumah terbuka juga termasuk amalan yang biasa dilakukan di hari raya ini. Kadang-kadang sebagai tetamu, sesetengah undangan 'open house’ ini sukar untuk ditolak sehingga menyebabkan seseorang yang sedang BERPUASA itu terpaksa membuat pilihan, lebih-lebih lagi jika kunjungan itu hanya mampu dibuatnya pada siang hari.
Namun perlu juga diingat bahawa BERPUASA itu bukanlah tiket serta alasan sebagai penghalang untuk TIDAK menghadiri jemputan. Ini kerana Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang BERPUASA. Begitu juga sebaliknya, jemputan jamuan itu bukan bermakna sebagai alasan untuk TIDAK BERPUASA. Sebaiknya perkara ini difahami dengan lebih mendalam lagi. Dalil kepada peringatan ini adalah berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:
Maksudnya: "Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan, maka penuhilah (undangan itu). Jika dia sedang BERPUASA, maka doakanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak BERPUASA, maka makanlah” (HR.Imam Muslim).
Akan tetapi jika PUASA yang dilakukan oleh seseorang yang menjadi tetamu itu adalah PUASA SUNAT, maka dalam keadaan tertentu dia diberikan pilihan sama ada untuk meneruskan PUASANYA ataupun DISUNATKAN baginya berbuka dan TIDAK meneruskan PUASA SUNAT tersebut. Keadaannya adalah seperti berikut:
Keadaan yang Pertama:
Sekiranya tuan rumah yang menjemputnya itu merasa tersinggung jika tetamu tersebut tidak memakan makanan yang dihidangkannya, maka dalam keadaan ini adalah dibolehkan, bahkan adalah AFDHAL bagi tetamu yang BERPUASA SUNAT tadi untuk berbuka dan TIDAK meneruskan PUASA SUNATNYA itu. Adapun alasan yang diberikan oleh ulamak ialah untuk menjaga hati tuan rumah. Perkara ini boleh terjadi dalam jamuan atau jemputan yang berbentuk khusus seperti tuan rumah hanya menjemput tetamu yang tertentu atau dia mempunyai hajat tertentu ketika mengundang tetamu-tetamu tadi.
Adapun dalil yang mensabitkan perkara ini ialah satu riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam pernah menyuruh seorang yang sedang BERPUASA SUNAT supaya berbuka dalam majlis jamuan makan, sabda Baginda:
Maksudnya: "Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: "Berbukalah dan BERPUASALAH pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu” (HR.al-Baihaqi).
Ini sama halnya dengan tuan rumah yang menjemput ataupun didatangi oleh tetamu padahal tuan rumah itu sedang BERPUASA SUNAT, lalu tetamunya itu berkeberatan untuk memakan makanan yang dihidangkan olehnya dan tidak mahu memakannya kecuali jika tuan rumah yang sedang BERPUASA itu turut makan bersamanya – maka dalam hal ini, sebagai menghormati tetamu itu, adalah lebih AFDHAL bagi tuan rumah itu untuk berbuka dan makan bersama-sama tetamunya tadi kerana Ummu Hani’ Radhiallahu ‘anha sewaktu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam pergi berkunjung ke rumahnya, Ummu Hani’ menghidangkan minuman kepada Baginda. Setelah minum, Baginda memberikannya semula kepada Ummu Hani’, lalu Ummu Hani’ pun meminum bakinya. Kemudian Ummu Hani’ pun berkata:
Maksudnya: "Aku (Ummu Hani’) telah berdosa, maka mintalah keampunan untukku".
Baginda bersabda: "Apakah ia (dosamu itu)?".
Katanya (Ummu Hani’): "Aku ini BERPUASA, dan aku berbuka".
Baginda bersabda: "Adakah PUASA qadha yang engkau kerjakan itu?".
(Ummu Hani’) berkata: "Bukan".
Baginda bersabda: "(Berbuka PUASA SUNAT itu) tidak memberi mudharat kepadamu" (HR.Imam at-Tirmidzi).
Keadaan yang Kedua:
Sekiranya tuan rumah atau tetamu itu tidak tersinggung ataupun tidak keberatan jika dia itu meneruskan PUASANYA, maka dalam hal ini adalah lebih AFDHAL dan lebih utama bagi tetamu itu untuk meneruskan sahaja PUASA SUNAT tersebut. Perkara ini boleh terjadi dalam jamuan atau jemputan yang berbentuk umum.
Jika dia berbuka juga maka dia tidak akan beroleh pahala PUASA yang telah dilakukannya tadi. Berlainan halnya, jika dia berbuka kerana keuzuran misalnya kerana ingin menemani tetamunya makan atau untuk menjaga hati tuan rumah, maka PUASANYA tadi itu akan diberikan pahala sungguhpun dia tidak dapat menyempurnakannya sepertimana yang disebutkan dalam kitab Mughni al-Muhtaj.
Bagaimanapun, TIDAK meneruskan PUASA SUNAT tanpa keuzuran adalah MAKRUH di sisi hukum syarak berdasarkan zahir firman Allah Ta‘ala dalam Surah Muhammad, Ayat 33:
Tafsirnya: "Dan janganlah kamu batalkan amalan kamu!” (Surah Muhammad:33).
Akan tetapi hukumnya adalah berbeza jika PUASA yang dikerjakan oleh seseorang itu merupakan PUASA FARDHU misalnya PUASA qadha Ramadhan atau PUASA nazar, maka adalah HARAM baginya untuk berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri jemputan tersebut dan DISUNATKAN juga ke atasnya untuk mendoakan keberkatan serta keampunan ke atas tuan rumah dan para hadirin sepertimana yang disebutkan dalam hadis di atas.
Hukum Menqadha PUASA SUNAT
Orang yang sedang BERPUASA SUNAT adalah berkuasa ke atas dirinya samada ingin meneruskan PUASANYA ataupun tidak. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Ummu Hani‘ Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: "Orang yang sedang BERPUASA SUNAT itu adalah raja bagi dirinya, jika dia mahu dia BERPUASA dan jika dia mahu dia berbuka” (HR.Imam Ahmad).
Menurut pendapat mazhab Imam as-Syafi‘e, orang yang TIDAK meneruskan PUASA SUNAT samada kerana keuzuran ataupun tidak, maka TIDAKLAH WAJIB ke atasnya menqadha PUASANYA itu bahkan hukumnya adalah SUNAT. Ini kerana jika hukum menqadhanya adalah WAJIB, maka sudah pasti hukum TIDAK meneruskannya (PUASA SUNAT) adalah HARAM. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘ed al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: "Aku membuat makanan untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam. Lalu Baginda dan sahabat-sahabat Baginda pun datang. Maka apabila makanan dihidangkan, seorang laki-laki daripada suatu kaum berkata: "Sesungguhnya aku sedang BERPUASA".
Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda: "Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu".
Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: "Berbukalah dan BERPUASALAH pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu" (HR.Imam al-Baihaqi).
Fadhilat PUASA SUNAT ENAM
Seperti juga halnya dengan PUASA-PUASA SUNAT yang lain, BERPUASA SUNAT ENAM di bulan Syawal juga mempunyai fadhilat tertentu jika dilaksanakan setelah BERPUASA di bulan Ramadhan. PUASA SUNAT ENAM ini sangat besar fadhilat serta ganjarannya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Anshari Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:
Maksudnya: "Barangsiapa yang BERPUASA pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan PUASA SUNAT ENAM hari pada bulan Syawal, (PUASANYA di bulan Ramadhan dan ENAM hari di bulan Syawal itu) seperti PUASA sepanjang tahun” (HR.Muslim).
Dalam hadis tersebut dijelaskan mengenai ganjaran melaksanakan PUASA Ramadhan diikuti dengan PUASA SUNAT ENAM hari di bulan Syawal adalah seperti BERPUASA sepanjang tahun. Disebutkan bahawa seseorang yang melakukan satu kebaikan ganjarannya adalah sebanyak sepuluh pahala. Sebagaimana juga mereka mengatakan: "Membaca Surah Al-Ikhlas itu sama dengan membaca sepertiga Al-Quran". Maka mengerjakan PUASA SUNAT sebanyak ENAM hari di bulan Syawal di samping mengerjakan PUASA FARDHU di bulan Ramadhan diibaratkan seperti BERPUASA sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu juga dibalas dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan BERPUASA di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan BERPUASA dan PUASA SUNAT ENAM di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan BERPUASA. Maka dengan itu genaplah ia setahun atau dua belas bulan.
Perkara ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadis riwayat Tsauban Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:
Maksudnya: "BERPUASA sebulan (di bulan Ramadhan itu disamakan) dengan sepuluh bulan BERPUASA dan BERPUASA SUNAT ENAM hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan BERPUASA, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun” (HR.ad-Darimi).
Apa yang dimaksudkan dengan persamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya dari PUASA FARDHU. Jadi, pahala mengerjakan PUASA bulan Ramadhan dan PUASA SUNAT ENAM adalah sama dengan pahala mengerjakan PUASA FARDHU sebanyak setahun.
Penutup
PUASA SUNAT ENAM di bulan Syawal merupakan kesinambungan ibadah PUASA yang dilakukan di bulan Ramadhan. Tentunya amatlah besar ganjaran yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi sesiapa yang melaksanakannya dengan penuh ketaqwaan dan keikhlasan. Rebutlah peluang ini dan jangan kita biarkan bulan Syawal berlalu tanpa melakukan PUASA SUNAT ENAM.
Oleh yang demikian, ambillah peluang ini dengan sebaiknya untuk mengerjakan PUASA SUNAT ENAM yang besar kelebihan-kelebihannya dan hanya akan diperolehi sekali sahaja dalam setahun iaitu dalam bulan Syawal. Usahakan agar jangan ia terlepas tanpa dikerjakan. Rintangan atau dugaan untuk melaksanakannya seperti majlis jamuan makan, janganlah dijadikan alasan untuk meninggalkan sama sekali PUASA SUNAT ENAM. Sebaiknya biarlah bijak mengurus masa kerana syarak juga MENGHARUSKAN PUASA SUNAT ENAM itu dikerjakan secara berselang-seli sepanjang bulan Syawal. Jadi janganlah ia dilepaskan begitu saja kerana agama Islam dengan penuh tolak ansur telah memberikan kemudahan bagi kita untuk mengerjakan PUASA SUNAT ENAM itu bukan dalam suasana hari raya.
RENUNGAN: PUASA Ramadhan vs. PUASA SUNAT ENAM
Dipetik kembali maksud hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam: "BERPUASA sebulan (di bulan Ramadhan itu disamakan) dengan sepuluh bulan BERPUASA dan BERPUASA SUNAT ENAM hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan BERPUASA, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun” (HR.ad-Darimi).
Jenis PUASA Ganjaran
PUASA Ramadhan 30 Hari x 10 = 300 Hari = 10 Bulan
PUASA SUNAT ENAM 6 Hari x 10 = 60 Hari = 2 Bulan
(PUASA Ramadhan + PUASA SUNAT ENAM) (30+6) Hari x 10 = 360 Hari = 12 Bulan @ Setahun
Adapun kejadian tubuh manusia itu mempunyai beberapa hikmah dan rahsia yang menyamai rahsia kejadian langit dan bumi serta berkait rapat dengan segala macam ibadat dalam Islam termasuklah PUASA. Maka eloklah diberi gambaran perumpamaan dengan serba ringkas dalam Ilmu Tasrikh iaitu ilmu kejadian manusia. Bahawa manusia mempunyai 360 tulang yang mendirikan tubuhnya yang mana menyamai juga dengan 360 darjah pada bulatan bumi.
Telah diketahui akan ganjaran PUASA Ramadhan yang diikuti dengan PUASA SUNAT ENAM adalah bersamaan dengan BERPUASA sepanjang tahun yakni 360 Hari. Maknanya 1 hari PUASA mewakili 1 tulang yang akan mendirikan tubuh manusia. Maka 360 hari PUASA itu mewakili 360 tulang yang mendirikan tubuh manusia yang lengkap sempurna sebagaimana kita kini. Jika hanya 300 tulang sahaja yang ada, tentu kita tidak akan dapat berada didunia ini (tidak zahir). Sebab itu PUASA SUNAT ENAM amat besar ganjarannya bagi yang ketahui.
Adapun PUASA Ramadhan itu untuk menyucikan NYAWA (yakni NAPAS, NUPUS, TANAPAS), HATI, AKAL, PENGLIHATAN, KATA-KATA dan PENDENGARAN kita, maka PUASA SUNAT ENAM pula ialah untuk menyucikan TUBUH kita yakni bekas tempat untuk meletak ENAM perkara iaitu:
1. NYAWA (yakni NAPAS, NUPUS, TANAPAS)
2. HATI
3. AKAL
4. PENGLIHATAN
5. KATA-KATA dan
6. PENDENGARAN
Sebab itu PUASA Ramadhan ada nilai disisi Allah Ta'ala (WAJIB dikerjakan) kerana ia adalah Hak Allah semata-mata yang akan dikembalikan kepadaNya kelak. Sebagaimana yang disabda oleh baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi Wasallam yang maksudnya: "Allah Subhanahu Wataala berfirman: "Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan PUASA (yakni PUASA Ramadhan), maka sesungguhnya PUASA itu adalah untukKu (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendirilah yang akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang BERPUASA" (HR.Bukhari).
Sementara PUASA SUNAT ENAM pula ada nilai disisi Muhammad kerana ia adalah Hak Muhammad (SUNAT dikerjakan). Dengan kata lain, PUASA Ramadhan adalah berkaitan penyucian urusan batin (NYAWA yakni NAPAS, NUPUS, TANAPAS), HATI, AKAL, PENGLIHATAN, KATA-KATA dan PENDENGARAN) dan PUASA SUNAT ENAM adalah berkaitan penyucian urusan zahir (TUBUH).
MAKA SUDAHKAH ANDA MENGERJAKAN PUASA SUNAT ENAM ?????
No comments:
Post a Comment