Thursday, October 1, 2009

Sudahkah kamu Membayar Hutang Maharmu????

Bil. 95 - DARI HAL MAHARMU !!!


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam. Ia juga menjadi fitrah semula jadi manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya: "Maha suci Allah Tuhan yang telah menciptakan (makhluk-makhluk) semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak dapat mengetahuinya" (Surah Yasin:36).

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi yang tafsirnya: "Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan kami)" (Surah adz-Dzariyat:49).

Cuma perkahwinan atau pengawanan binatang mengikut sesuka hatinya, tidak mengira anak atau ibunya sendiri atau pasangan binatang yang lain. Sedangkan perkahwinan manusia mestilah mengikut peraturan dan undang-undang, kerana itu apabila pasangan itu melakukan persetubuhan rambang, maka perbuatan itu adalah HARAM dan BERDOSA BESAR.

Dalam makna yang lain manusia tidak boleh sewenang-wenangnya menjalin hubungan atau bergaul dengan pasangannya tanpa memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak seperti adanya ijab qabul, wali nikah, saksi dan pasangan yang HALAL dikahwini. Mana-mana perhubungan di luar syarat nikah adalah HARAM lebih-lebih lagi jika terjebak kepada perkara yang membawa perzinaan.

Hak Suami Ke Atas Isteri Memberi MAHAR
Sesudah terlaksananya perkahwinan dengan cara yang betul dan SAH disisi syarak, terdapat beberapa tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dalam kehidupan suami isteri. Iaitu hak isteri ke atas suami, hak suami ke atas isteri dan hak mereka bersama. Di antara hak isteri yang WAJIB ditunaikan oleh suami ialah memberi MASKAHWIN. MASKAHWIN dalam perkataan Arab disebut dengan MAHAR. MAHAR adalah pemberian WAJIB daripada seorang suami kepada isterinya disebabkan pernikahan atau persetubuhan (dukhul).

MAHAR dipanggil juga sebagai Shadaq, Nihlah, Faridhah, Hiba’, Ajr, ‘Aqr, ‘Ala’iq, Thaul dan Nikah. Terdapat enam perkataan yang disebutkan dalam al-Quran, iaitu perkataan Shadaq dan Nihlah dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya: "Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu MASKAHWIN-MASKAHWIN mereka sebagai pemberian yang WAJIB" (Surah an-Nisa’:4).

Perkataan Nikah dalam firman Allah Ta‘ala yang tafsirya: "Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatan" (Surah an-Nur:33).

Perkataan Thaul dalam firmanNya yang tafsirnya: "Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup" (Surah an-Nisa’:25).

Sementara perkataan Ajr dalam firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya: "Berikanlah MASKAHWINNYA menurut yang patut" (Surah an-Nisa’:25).

Perkataan Faridhah dalam firmanNya yang tafsirnya: "Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan MASKAHWIN itu (tentang cara dan kadar pemberiannya)" (Surah an-Nisa’:24).

Dengan wujudnya kewajipan membayar MAHAR kepada perempuan itu, menunjukkan penghargaan Islam terhadap kaum wanita sekaligus menaikkan martabat mereka. Ini kerana pada zaman jahiliyah, wanita tidak boleh memiliki atau mewarisi harta bahkan mereka dijadikan sebagai barangan yang boleh dijual beli atau dipinjam-pinjamkan.

MAHAR Para Isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam Dan Anak Perempuan Baginda
MAHAR atau MASKAHWIN memang sudah wujud sejak zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam dan sahabat-sahabat Baginda. MAHAR itu telah pun menjadi ketetapan dalam syarak. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam memberi MAHAR kepada isteri-isterinya sebanyak dua belas setengah uqiyyah iaitu lima ratus dirham (kira-kira RM2147.70 mengikut kiraan dirham masa kini, dimana 200 dirham bersamaan dengan RM859.08 (Lihat Kitab Hukum Zakat Dr. Yusuf Qardhawi:256).

Sebagaimana telah dinyatakan dalam hadis daripada Abu Salamah, beliau bertanya kepada Sayyidatuna ‘Aisyah tentang MAHAR yang diberikan oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi Wasallam, lalu ‘Aisyah berkata maksudnya: "Baginda memberi MAHAR kepada isteri-isterinya sebanyak dua belas uqiyyah dan satu nasy". ‘Aisyah berkata: "Tahukah kamu apa itu nasy?".
Abu Salamah berkata: "Aku berkata: "Tidak tahu".
‘Aisyah berkata: "Setengah uqiyyah. Demikian itu kesemuanya sebanyak lima ratus dirham. Maka inilah kadar MAHAR yang diberikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam kepada isteri-isterinya" (HR.Muslim dan Abu Daud).

Daripada Abu al-‘Ajfa’ as-Sulamiy, berkata ‘Umar bin al-Khatthab yang maksudnya: "Saya tidak pernah tahu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam menikahi isteri-isterinya dengan sesuatu (MAHAR) dan tidak menikahkan anak-anaknya dengan sesuatu (MAHAR) lebih daripada dua belas uqiyyah" (HR.at-Tirmidzi, Abu Daud dan an-Nasa’ie).

Dikatakan bahawa MAHAR Ummu Habibah iaitu isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam sebanyak empat ribu dirham atau empat ratus dinar. Namun kadar MAHAR yang tinggi itu bukannya daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam dan Baginda tidak berakad nikah dengan kadar yang banyak itu. Akan tetapi ianya adalah merupakan tabarruk daripada an-Najasyie sebagai memuliakan Baginda Shallallahu ‘alaihi Wasallam. Sebagaimana dalam hadis Ummu Habibah yang maksudnya: "Bahawasanya dia (Ummu Habibah) di bawah tanggungan ‘Ubaidullah bin Jahsy (suaminya). Lalu suaminya meninggal dunia di tanah Habsyah, maka an-Najasyie menikahkannya dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam. Dia (an-Najasyie) memberikan MAHARNYA (Ummu Habibah) bagi pihak diri Rasulullah sebanyak empat ribu dirham. An-Najasyie mengutus Ummu Habibah kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam dengan ditemani oleh Syurahbil bin Hasanah. Berkata Abu Daud: "Hasanah itu adalah Ibunya (Syurahbil)" (HR.Abu Daud).

MAHAR Para Sahabat Dan Selainnya
Sayyidina Umar Radhiallahu ‘anhu mengahwini Ummu Kalthum binti ‘Ali Radhiallahu ‘anha dengan MAHAR empat puluh ribu dirham. Thalhah bin ‘Ubaidullah mengahwini anak perempuan Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu dengan MAHAR seratus ribu dirham. Sementara Mush‘ab menikahi Sakinah binti Husain Radhiallahu ‘anhuma dengan MAHAR sejuta dirham (al-Majmuk:18/8-9).

Abdul Rahman bin ‘Auf bernikah pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam dengan MAHAR emas seberat biji buah kurma iaitu tiga dan sepertiga dirham. Manakala Sa‘id bin al-Musayyab menikahkan anak perempuannya dengan MAHAR dua dirham (Ahkam az-Ziwaj:77).

Sementara Khalifah al-Ma’mun daripada Bani ‘Abbas, menikahi puteri Bauran iaitu anak kepada Perdana Wazir Khalifah al-Ma’mun yang bernama Fadhl bin Sahl dengan MAHAR beratus-ratus talam emas yang dipenuhi dengan wang emas (dinar). Dihiasi dengan lilin-lilin yang dibakar dengan minyak ‘Anbar yang harum semerbak serta dicampur dengan kasturi yang digiling halus. Sehinggalah tercatat dalam sejarah bahawa majlis pernikahan itu sangat mewah serta MAHAR yang paling mahal bersesuaian dengan kekayaan Khalifah al-Ma’mun (Tafsir al-Azhar:2/1097).

Hukum MAHAR
Seorang suami DIWAJIBKAN memberi MAHAR kepada isterinya walaupun MAHAR itu bukan salah satu daripada syarat SAH atau RUKUN nikah. Jika tidak disebutkan MAHAR di dalam akad nikah atau ada perselisihan di dalamnya, maka pernikahan tersebut tetap SAH. Ini membuktikan bahawa ada perbezaan di antara pernikahan dan jual beli.

Jual beli itu TIDAK SAH melainkan di dalamnya akad harga yang diketahui. Manakala nikah pula, ianya SAH tanpa disebutkan MAHAR itu di dalam akad. KEWAJIPAN MAHAR itu telah disebutkan dalam al-Qur’an, di antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya: "Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu MASKAHWIN-MASKAHWIN mereka sebagai pemberian yang WAJIB. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari MASKAHWINNYA maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang HALAL) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya" (Surah an-Nisa’:4).

Menurut al-Qurthubi bahawa ayat di atas ditujukan kepada pihak suami. Ini menunjukkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan supaya pihak suami bertabarruk dengan memberikan MAHAR kepada isteri-isteri mereka (al-Jami‘ Liahkam al-Qur’an:3/1330).

Syarat-Syarat MAHAR
Hendaklah MAHAR yang diberikan kepada pihak isteri itu merupakan sesuatu benda yang boleh dijual beli atau sesuatu yang ada harga atau boleh sewa sama ada yang nampak (ada di tangan seseorang) atau hutang yang dalam tanggungan. MAHAR itu juga boleh diberi secara tunai, bertangguh atau dibayar secara beransur-ansur.

Untuk jelasnya dihuraikan syarat-syarat MAHAR:
1. Hendaklah MAHAR itu terdiri daripada sesuatu yang SUCI dan BUKAN sesuatu yang HARAM. Oleh yang demikian TIDAK SAH sekiranya arak, bangkai,
babi atau sesuatu yang najis dijadikan MAHAR.

2. Hendaklah MAHAR itu dalam MILIK atau kuasa suami. TIDAK SAH sekiranya barang curian, rampasan atau barang yang memang tidak dimilikinya seperti
disebutkan MAHAR di dalam akad sebanyak seribu ringgit akan tetapi dia tidak memilikinya. Begitu juga sekiranya dia menjadikan sesuatu yang bermanfaat sebagai MAHAR tetapi tidak dimilikinya, seperti dia menjadikan khidmat seorang hamba sebagai MAHAR akan tetapi dia tidak memiliki hamba itu.

3. Hendaklah MAHAR itu BERSIH daripada sebarang penipuan, seperti sesuatu yang tidak ada atau tidak diketahui sama ada pada jenis, jumlah atau sifatnya.
Sebagai contoh, menjadikan rumah atau binatang ternak atau sebagainya yang tidak ditentukan yang mana satu untuk dijadikan MAHAR.

Demikian juga TIDAK SAH dijadikan MAHAR sesuatu yang belum sempurna miliknya, seperti barang belian yang belum diterima (qabadh) atau sesuatu yang
tidak mampu untuk diserahkan, seperti burung yang terbang di udara atau binatang liar di dalam hutan atau ikan di lautan.

4. Hendaklah MAHAR itu mempunyai NILAI dan MANFAAT. Seperti memberi khidmat kepada pihak isteri. Sebagai contoh, memelihara kambing si isteri
dengan masa yang tertentu atau menjahit pakaiannya atau mengajar al-Qur’an atau mengajar sya‘ir yang dibolehkan oleh syarak atau mengajar menulis atau bertukang dan sebagainya daripada sesuatu yang bermanfaat dan dibolehkan oleh syarak.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala tentang Hikayat Syu‘aib bersama Musa ‘alaihi Wassalam yang tafsirnya: "Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku insyaAllah, dari orang-orang yang baik layanannya" (Surah al-Qashash:27).

Sementara dalil bagi menjadikan pengajaran al-Qur’an itu sebagai MAHAR, adalah hadis Sahl bin as-Sa‘idiy yang maksudnya: "Bahawasanya telah datang
seorang perempuan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam lalu berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya saya datang kepadamu untuk menghibahkan diriku kepadamu".
Perempuan itu berdiri begitu lama. Maka bangun seorang lelaki lalu berkata: "Wahai Rasulullah! Kahwinkanlah aku dengannya, sekiranya engkau tidak berhajat kepadanya".
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda: "Adakah kamu mempunyai sesuatu untuk diberikan kepadanya sebagai MAHAR?".
Katanya: "Tidak ada padaku melainkan kain sarung ini".
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam: "Jika engkau berikan kain sarung itu kepadanya, sudah tentu kamu duduk tanpa memakai kain sarung, maka oleh itu carilah sesuatu".
Dia berkata: "Saya tidak mempunyai apa-apa".
Kemudian Baginda bersabda: "Carilah walaupun sebentuk cincin besi".
Lalu lelaki itu pun mencari, namun tidak diperolehinya sesuatu pun.
Maka bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam: "Apakah engkau hafal sesuatu daripada al-Qur’an?".
Dia berkata: "Ya, surah ini dan surah ini dengan menyebutkan nama-nama surah tersebut".
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda: "Aku mengkahwinkanmu bersamanya dengan MAHAR daripada al-Qur’an yang engkau hafal" (HR.Abu Daud).

Demikian juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah sama seperti hadis di atas, akan tetapi tidak disebutkan kain sarung dan cincin. Sabda
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya: "Apakah yang kamu hafal daripada al-Qur’an?".
Dia berkata: "Surah al-Baqarah dan surah berikutnya".
Baginda bersabda: "Bangunlah! Lalu ajarkan dua puluh ayat kepadanya, dan dia adalah isterimu" (HR.Abu Daud).

Dalam sebuah hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Amir bin Rabi‘ah daripada ayahnya, bahawa seorang perempuan daripada Bani Fazarah telah berkahwin dengan MASKAHWIN sepasang sandal yang maksudnya: "Bahawasanya seorang perempuan daripada Bani Fazarah telah berkahwin dengan sepasang sepatu.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda: "Apakah engkau redha menyerahkan diri dan hartamu dengan sepasang sepatu?".
Perempuan itu berkata: "Ya".
Dia berkata: "Maka Rasulullah membolehkan perkahwinannya itu" (HR.at-Tirmidzi).

Oleh itu TIDAK SAH menjadikan sesuatu yang tidak BERMANFAAT dan tidak BERNILAI pada kebiasaannya sebagai MAHAR seperti serangga, sebutir biji gandum dan sebagainya.

Kadar MAHAR
Para fuqaha telah bersepakat bahawa MAHAR itu tidak ada had banyaknya, kerana tidak ditentukan kadar banyaknya oleh syarak. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya: "Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata?" (Surah an-Nisa’:20).

Seorang perempuan pernah berhujahkan ayat ini ketika ‘Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anhu menghadkan pembayaran MAHAR di dalam khutbahnya dengan tidak melebihi empat ratus dirham. Beliau berkata dalam khutbahnya yang maksudnya: "Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam memberi MASKAHWIN wanita. Sesungguhnya jika sekiranya (berlebih-lebihan dalam membayar MASKAHWIN itu) menjadi penghormatan di dunia atau ketakwaan disisi Allah, nescaya Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam adalah lebih utama dan berhak meninggikan MAHAR itu daripada kamu. Baginda tidak memberi MASKAHWIN kepada seorang perempuan daripada isteri-isterinya dan tidak juga memberi MASKAHWIN kepada seorang perempuan daripada anak-anaknya melebihi daripada dua belas uqiyyah" (HR.Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasaie, Ahmad dan Ibnu Majah).

Sementara dalam riwayat yang lain ada menyebutkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab Radhiallahu ‘anhu berkata dalam khutbahnya, sesiapa yang melebihi MAHARNYA daripada empat ratus dinar nescaya lebihan itu diserahkan kepada Baitulmal. Sesudah beliau turun daripada mimbar, datang seorang perempuan Quraish membantah khutbah beliau dengan katanya yang maksudnya: "Wahai Amirul Mukminin! Apakah kitab Allah Ta‘ala lebih berhak diikuti ataupun kata-katamu?".
Beliau berkata: "Kitab Allah Ta‘ala yang diikuti, apa itu?".
Perempuan itu berkata: "Engkau telah melarang orang ramai sebentar tadi daripada berlebih-lebihan memberi MASKAHWIN wanita. Allah Ta‘ala berfirman dalam kitabNya: "Dan kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu".
‘Umar Radhiallahu ‘anhu berkata: "Setiap orang lebih faqih daripada ‘Umar, dua kali atau tiga kali (beliau berkata demikian). Kemudian beliau kembali ke atas mimbar. Beliau berkata kepada orang ramai: "Sesungguhnya tadi aku telah pun melarang kamu daripada berlebih-lebihan dalam membayar MASKAHWIN wanita, maka sekarang lakukanlah oleh lelaki pada hartanya apa yang dia mahu" (HR.al-Baihaqi).

Akan tetapi adalah DISUNATKAN agar tidak berlebih-lebihan dalam membayar MAHAR perempuan. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya: "Sesungguhnya nikah yang paling besar berkatnya adalah yang sedikit MAHARNYA" (HR.Ahmad).

Dalam riwayat yang lain pula, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya: "Sebaik-baik pernikahan adalah yang sedikit (MAHARNYA)" (HR.Abu Daud).

Hikmat mengelakkan daripada berlebih-lebihan dalam membayar MAHAR itu, yang jelas adalah memudahkan pemuda-pemuda untuk berkahwin supaya tidak terpesong kepada perkara yang tidak diingini seperti zina dan perkara-perkara yang membawa kepada buruk akhlak. Sebagaimana ‘Umar Radhiallahu ‘anhu berkata dalam khutbahnya yang maksudnya: "Sesungguhnya lelaki yang berlebih-lebihan dalam memberi MAHAR perempuannya sehingga menjadikan perempuan itu permusuhan dalam diri lelaki itu" (HR.an-Nasaie).

Adapun had sedikit bagi kadar MAHAR itu tidak disepakati oleh para fuqaha. Namun dalam mazhab Syafi‘e, MAHAR itu tidak ada had sedikitnya. Firman Allah Subahanhu wa Ta‘ala yang tafsirnya: "Dan (sebaliknya) DIHALALKAN bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina" (Surah an-Nisa’:24).

Dalam ayat di atas menunjukkan bahawa harta yang disebutkan di atas tidak ditentukan oleh syarak. Demikian juga dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam ada menyebutkan bahawa cincin diperbuat daripada besi dan sepasang sepatu boleh dijadikan MAHAR. Ini menunjukkan bahawa MAHAR itu SAH dengan setiap sesuatu yang boleh dinamakan sebagai harta. Oleh itu, tidak ada had bagi MAHAR perempuan sama ada banyak atau sedikit asalkan ianya terdiri daripada sesuatu yang boleh dijual beli iaitu ada padanya nilai.

Berapakah Kadar MAHAR Yang Elok Dibayar
Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam menikahi isteri-isterinya dan mengahwinkan anak-anaknya dengan MAHAR tidak melebihi daripada dua belas setengah uqiyyah iaitu lima ratus dirham. Oleh yang demikian, mustahab (DISUNATKAN) bagi lelaki memberi MAHAR kepada perempuannya dengan tidak melebihi lima ratus dirham untuk bertabarruk dengan perbuatan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam. Ini pun tertakluk kepada kemampuan lelaki tersebut (al-Majmu‘:18/8,10).

Imam as-Syafi‘e berkata yang ertinya: "Dan Qashad (tujuan) dalam MAHAR adalah disukai kepada kita, dan DISUNATKAN MAHAR itu tidak melebih atas apa yang diberikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam kepada isteri-isterinya dan anak-anaknya. Dan itu adalah lima ratus dirham, mengharap keberkatan pada setiap sesuatu yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam".

Tiadalah menjadi kesalahan jika lelaki itu memberi MAHAR kepada isterinya lebih daripada lima ratus dirham sebagaimana perbuatan an-Najasyie ketika dia menjadi wakil Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam pada waktu Baginda menikahi Ummu Habibah dengan dibayarkan oleh an-Najasyie MAHARNYA sebanyak empat ribu dirham. Jika demikian itu hukumnya MAKRUH, nescaya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam akan menegahnya.

Walau bagaimanapun sayugialah digalakkan agar memberi MAHAR itu tidak kurang daripada sepuluh dirham. Ini kerana menghindarkan daripada pendapat sesetengah ulamak yang mengatakan kadar sekurang-kurang MAHAR itu sebanyak sepuluh dirham (al-Fiqh al-Islami waadillatuhu:9/6765-6766).

Selain pemberian MAHAR itu daripada sesuatu yang bermanfaat dan bernilai sama ada banyak atau sedikit, ianya juga tergantung kepada persetujuan kedua pihak. Jika terdapat perselisihan antara dua belah pihak dalam menentukan MAHAR, jatuhlah MAHAR tersebut kepada MAHAR mitsil.

Jenis-Jenis MAHAR
Sudah menjadi kebiasaan di negara kita sebelum melangsungkan perkahwinan, satu majlis yang dikenali sebagai majlis besuruh diadakan bagi kedua belah pihak untuk merundingkan dan menetapkan kadar MAHAR yang akan diberikan oleh bakal suami. Pada kebiasaannya pihak perempuan akan menyebutkan kadar MAHAR yang ditetapkan, seterusnya pihak lelaki akan bersetuju dengan kadar yang dicadangkan itu.

Dalam hal ini, pihak lelaki berhak mencadangkan dalam waktu rundingan itu sama ada ingin memberikan MAHAR lebih tinggi ataupun kurang daripada kadar yang telah dikemukakan oleh pihak perempuan. Dengan ini tiadalah menjadi kesalahan asalkan ianya dipersetujui oleh kedua belah pihak dan MAHAR itu merupakan sesuatu yang bermanfaat dan bernilai.

Terdapat dua jenis MAHAR yang dikemukakan oleh para fuqaha, iaitu:
Pertama, MAHAR Musamma
Iaitu MAHAR yang disebutkan di dalam akad atau selepas akad dengan keredhaan kedua pihak. Sama ada MAHAR itu disepakati dengan jelas di dalam akad atau ditetapkan bagi isteri selepas akad dengan keredhaan atau ditetapkan MAHAR itu oleh hakim.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya: "Padahal kamu sudah menetapkan kadar MASKAHWIN untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari MASKAHWIN yang telah kamu tetapkan itu" (Surah al-Baqarah:237).

Kedua, MAHAR Mitsil
Ianya adalah kadar MAHAR yang ditentukan mengikut kebiasaannya pada nasab dan sifat daripada ‘ashabatnya di sebelah perempuan. Maka didahulukan mengikut susunan seperti di bawah ini:

- Adik beradik perempuan seibu sebapa
- Adik beradik perempuan sebapa
- Anak perempuan kepada adik beradik lelaki seibu sebapa
- Anak perempuan kepada adik beradik lelaki sebapa
- Ibu saudara sebelah bapa seibu sebapa
- Ibu saudara sebelah bapa sebapa
- Anak perempuan kepada ibu saudara sebelah bapa seibu sebapa
- Anak perempuan kepada ibu saudara sebelah bapa sebapa

Dijelaskan dalam sebuah hadis daripada ‘Alqamah katanya yang maksudnya: "Abdullah telah didatangi (ditanya) tentang seorang perempuan yang telah dinikahi oleh seorang lelaki, kemudian lelaki itu mati dan belum menentukan MAHAR kepadanya dan belum disetubuhinya".
‘Alqamah berkata: "Maka mereka pun berselisih pendapat tentangnya".
Maka ‘Abdullah berkata: "Saya berpendapat baginya seperti MAHAR perempuan-perempuan kaumnya dan baginya harta warisan dan ‘iddah".
Maka mengakui Ma‘qal bin sinan al-Asyja‘i, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam telah membuat keputusan ke atas Birwa‘ binti Wasyiq sama dengan apa yang diputuskan oleh ‘Abdullah" (HR.Ahmad).

Adapun jika tidak didapati ‘ashabatnya itu (seperti senarai yang disebutkan di atas) sama ada ianya belum bernikah atau tidak diketahui berapa kadar MAHARNYA, maka dilihatlah MAHAR itu pada dzawil arhamnya. Yang dimaksudkan dengan dzawil arham itu ialah ibu dan kerabatnya. Bukanlah dzawil arham yang disebutkan dalam hukum faraidh, kerana ibu dan ibu-ibunya itu di dalam hukum faraidh adalah tergolong dalam ashabul furudh.

Menurut al-Mawardi dan ar-Ruyani, didahulukan daripada perempuan dzawil arham itu adalah seperti berikut:

- Ibu
- Adik beradik perempuan seibu
- Nenek perempuan
- Ibu saudara sebelah ibu
- Anak perempuan kepada adik beradik seibu
- Anak perempuan kepada ibu saudara sebelah ibu

Jika tidak diperolehi juga perempuan-perempuan dzawil arham seperti senarai di atas sama ada belum berkahwin atau tidak diketahui kadar MAHARNYA, maka dilihatlah kepada perempuan ajnabi (asing, bukan kerabat) yang berdekatan dengannya di negerinya yang sudah bernikah dan setaraf dengannya. Sebagai contoh jika dia seorang hamba, maka dilihat pada hamba sepertinya dan jika dia orang badawiyyah (orang kampung), maka dilihatlah pada perempuan badawiyyah yang sepertinya dan jika dia orang bandar, maka dilihatlah pada perempuan bandar sepertinya.

Apabila tiada diketahui kadar MAHAR perempuan itu daripada ‘ashabat dan dzawil arhamnya. Baharulah dilihat kepada perempuan ajnabi yang berhampiran dengannya dan diambil kira juga pada sifat-sifat perempuan tersebut dalam menentukan banyak dan sedikit kadar MAHAR yang akan diberi seperti berikut:

- Akal : Perempuan yang mempunyai akal yang pintar lebih tinggi MAHARNYA berbanding dengan perempuan yang kurang pintar.
- Umur : Perempuan yang muda lebih diingini daripada perempuan yang sudah lanjut usia.
- Kecantikan : MAHAR perempuan yang cantik lebih tinggi daripada MAHAR perempuan yang kurang cantik.
- Senang dan susah : MAHAR perempuan yang kaya lebih tinggi berbanding MAHAR perempuan yang miskin.
- Al-‘iffah (menjauhkan diri dari maksiat) : Perempuan yang ‘afifah lebih tinggi MAHARNYA daripada perempuan yang suka berbuat maksiat.
- Al-hurriyyah (kebebasan) : MAHAR perempuan yang merdeka lebih tinggi berbanding MAHAR perempuan hamba.
- Al-bakarah (keperawanan) : Anak dara lebih mahal MAHARNYA daripada janda.
- Adab dan akhlak : Perempuan yang berperangai dan berakhlak mulia lebih tinggi MAHARNYA daripada perempuan yang berperangai dan
berakhlak buruk.
- Keturunan : Perempuan yang berketurunan mulia lebih diingini daripada perempuan yang tiada berketurunan mulia.

Di antara sifat-sifat yang disebutkan di atas terdapat sifat yang paling masyhur untuk diambil kira dalam MAHAR Mitsil, ianya adalah AGAMA, al-‘iffah dan al-hurriyyah (al-Majmuk:18/51-53).

Perkara Yang Mewajibkan MAHAR Mitsil
Terdapat beberapa perkara yang MEWAJIBKAN MAHAR Mitsil di antaranya:

1. Nikah at-tafwidh
Pernikahan yang berlaku dengan akad yang SAH akan tetapi tidak disebutkan di dalamnya MAHAR. Apa yang dimaksudkan dengan at-tafwidh itu adalah menyerahkan perempuan kepada suami atau walinya untuk menentukan kadar MAHAR.

Sebagai contoh, seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang baligh lagi rasyidah sama ada dara atau janda tanpa MAHAR dengan keizinan dan keredhaan perempuan itu. Seperti dia berkata kepada walinya: "Kahwinkan aku tanpa MAHAR". Maka wali tersebut mengahwinkannya dengan menafikan adanya MAHAR ataupun tidak menyebutkannya, dinamakanlah ia sebagai nikah at-tafwidh. Oleh yang demikian, nikah at-tafwid itu DIWAJIBKAN MAHAR Mitsil dan nikahnya itu SAH walaupun disyaratkan oleh perempuan tersebut bahawa tidak ada MAHAR baginya.

DIWAJIBKAN bagi suami memberi mut‘ah sahaja jika belum berlaku persetubuhan (dukhul) dan belum ditentukan MAHARNYA. Jika berlaku persetubuhan atau kematian sebelum dukhul dan sebelum ditentukan MAHAR, maka DIWAJIBKAN MAHAR Mitsil. Adapun jika dalam keadaan nikah at-tafwid ini terjadi thalaq sebelum dukhul dan MAHAR belum lagi ditentukan, maka isteri hanya mendapat separuh MAHAR (al-Majmuk:18/48-49, al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuhu:9/6777-6781).

Sebagaimana dalam mafhum ayat al-Qur’an, firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya: "Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar MASKAHWIN untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari MASKAHWIN yang telah kamu tetapkan itu" (Surah al-Baqarah:237).

2. Bersepakat Tidak Ada MAHAR
Iaitu apabila seorang lelaki mengahwini seorang perempuan tanpa MAHAR dengan persetujuannya, maka WAJIBLAH MAHAR Mitsil jika berlakunya persetubuhan (dukhul) atau kematian.

3. MAHAR yang TIDAK SAH di Dalam Akad
Apabila MAHAR yang disebutkan atau ditentukan di dalam akad sesuatu yang TIDAK SAH untuk dijadikan MAHAR seperti bangkai, arak, sebutir biji gandum, setitik air, burung yang terbang di udara atau sebagainya adalah DIWAJIBKAN MAHAR Mitsil dan nikahnya itu tetap SAH walaupun MAHARNYA fasid (al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh:9/6777-6781).

Perkara Yang MEWAJIBKAN MAHAR Musamma
Adapun perkara yang menyebabkan WAJIBNYA MAHAR Musamma itu ialah, apabila berlakunya akad yang SAH dan MAHAR yang SAH yang disebutkan di dalam akad atau selepasnya atas dasar keredhaan dan persetujuan. Jika berlakunya akad pernikahan itu fasid (TIDAK SAH) bukan disebabkan MAHAR yang TIDAK SAH akan tetapi fasid pada nikah disebabkan oleh yang lain seperti pernikahan tanpa saksi, pernikahan mut‘ah atau sebagainya, adalah DIWAJIBKAN bagi suami membayar MAHAR jika berlaku dukhul yang hakiki (al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh:9/6782-6783).

Sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya: "Setiap perempuan yang telah bernikah tanpa izin walinya maka nikahnya itu BATAL, maka nikahnya itu BATAL, maka nikahnya itu BATAL. Jika suami menyetubuhinya (dukhul) maka baginya (perempuan itu) MAHAR kerana dia (suaminya) telah MENGHALALKAN farajnya. Jika ada pertengkaran antara mereka maka hakim adalah wali bagi orang yang tidak mempunyai wali" (HR.at-Tirmidzi).

Penutup
Berdasarkan penjelasan di atas adalah menjadi tuntutan yang WAJIB ke atas para suami untuk memberikan MAHAR kepada isteri-isteri mereka sama ada sebelum, sesudah atau ketika akad nikah dilangsungkan sebagaimana dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadis yang telah diutarakan di atas. MAHAR itu boleh diberikan secara tunai, bertangguh (hutang) ataupun dibayar secara beransur-ansur dan ia juga menjadi hak mutlak kepada si isteri. Orang lain sekali-kali tidak berhak ke atasnya sekalipun wali untuk membiayai perbelanjaan majlis perkahwinan anak perempuannya itu melainkan dengan keizinannya.

Berdasarkan hadis yang disebutkan di atas juga, nikah yang paling besar berkatnya adalah yang sedikit MAHARNYA. Oleh itu sewajarnya MAHAR itu diringankan demi untuk mendapat keberkatan sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Subhanhu wa Ta‘ala melalui hadis Baginda itu. Walau bagaimanapun bagi bakal suami yang berkemampuan adalah mustahab (SUNAT) bertabarruk dengan perbuatan Nabi di dalam memberikan kadar MAHAR, demi mendapatkan keberkatan melalui setiap perbuatan yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah. SUDAHKAH KAMU MEMBAYAR HUTANG MAHARMU ?????

No comments:

Post a Comment