Thursday, August 13, 2009

Hukum Kenajisan Anjing: Fatwa dan Kenyataan Ulamak

Bil. 57 - Fatwa dan Kenyataan Ulamak:
HUKUM KENAJISAN ANJING


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Apabila sahaja disebut tentang ANJING, pasti ramai yang akan merasa jijik. Apabila sahaja melihat ANJING, ramai yang akan cuba menjauhinya. Ini kerana kita sejak awal telah diajar bahawa ANJING adalah najis yang berat. Akan tetapi pada masa kini, wujud beberapa suasana di mana kita terpaksa berada “berhampiran” dengan ANJING. Sebagai contoh, terdapat beberapa lapangan terbang antarabangsa yang menggunakan ANJING untuk mengesan dadah pada penumpang dan bagasi mereka. Ini menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan kita kerana kesukaran untuk menyamak mana-mana bahagian yang telah disentuh oleh ANJING tersebut.

Dalam risalah ini, para pembaca sekalian diajak mengkaji semula, adakah benar ANJING adalah najis yang berat? Adakah setiap kali ANJING bersentuhan dengan kita, kita perlu menyamaknya? Sebelum dimulakan kajian ini, terlebih dahulu diberi muqaddimah tentang pandangan Islam terhadap najis dan haiwan secara umum.

Pandangan Islam Terhadap Najis
Dalam Islam terdapat jenis-jenis najis yang disepakati oleh para fuqaha dan jenis-jenis yang diperselisihkan. Adapun mengenai jenis-jenis najis yang telah disepakati para fuqaha Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah menetapkan bahawa barang yang najis itu terdiri daripada empat perkara iaitu:
(1) Daging babi,
(2) Darah yang mengalir dari binatang yang melata di atas darat,
(3) Muntah, air kencing serta tahi anak Adam kecuali bayi, dan
(4) Mayat binatang yang melata di darat yang mempunyai darah yang mengalir kecuali manusia.
(Rujuk Al-Fiqh al-Maliki al-Muyassar, Dr.Wahbah az-Zuhaili:1/16).

Oleh itu, keempat-empat jenis najis yang disebutkan tidak mempunyai perselisihan mengenai kenajisannya. Justeru, kita dituntut untuk membasuh pakaian atau tubuh badan yang terkena keempat-empat bentuk najis tersebut untuk memastikan segala ibadah yang kita lakukan sah dan diterima oleh Allah s.w.t. Namun kaedah pembersihannya khilaf di kalangan mereka menurut ijtihad masing-masing.


Bagaimana pula dengan ANJING dan air liurnya?

Pandangan Islam Terhadap Haiwan
Islam adalah agama yang bukan sahaja menjaga hak-hak manusia tetapi juga hak-hak haiwan. Berkata Almarhum Sheikh Sayyed Mutawalli Ad-Darsh, bekas pengerusi Jawatankuasa Syari'ah UK, semoga Allah merahmatinya: "Terdapat pandangan dalam Islam, yang menyatakan bahawa semua binatang hidup adalah bersih, bermaksud kita dibenarkan mendekati dan menyentuh mereka".

Pada satu ketika Rasulullah s.a.w melintasi seekor unta yang kelihatan kempis perutnya kerana kelaparan. Lalu baginda bersabda: "Bertakwalah kepada Allah terhadap haiwan-haiwan yang bisu ini. Tunggangilah ia dengan baik dan berilah ia makan dengan baik". [1]

Perintah Rasulullah s.a.w untuk "Bertakwalah kepada Allah terhadap haiwan-haiwan…” menunjukkan bahawa kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada Hari Akhirat nanti dengan bagaimana sikap kita terhadap haiwan. Jika kita menjaga mereka dengan baik, memberi hak-hak mereka seperti makanan, minuman dan tempat berteduh, kita akan memperoleh ganjaran daripada Allah. Sebaliknya jika kita menzalimi mereka, maka kita akan memperoleh azab daripada Allah. Dua hadis berikut perlu menjadi sumber iktibar bagi kita:

Maksudnya: "Ketika seekor ANJING berpusing mengelilingi sebuah perigi dan hampir mati kerana dahaga, seorang pelacur daripada suku Bani Israil melihatnya. Lalu dia menanggalkan kasutnya dan memberi ANJING tersebut minum dengannya. Maka Allah mengampunkan dia kerana perbuatannya itu".[2]

Maksudnya: "Seorang wanita memasuki neraka disebabkan seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makan mahu pun membebaskannya untuk makan serangga di tanah".[3]


Daripada hadis-hadis di atas, jelas bahawa sikap kita terhadap haiwan memiliki kedudukan yang penting di dalam agama sehingga melibatkan antara Syurga dan Neraka. Oleh itu hendaklah kita sentiasa memerhatikan sikap kita terhadap haiwan. Jangan dihadkan belai kasih kepada haiwan peliharaan sahaja tetapi hendaklah diluaskan kepada haiwan-haiwan yang lain. Sebagai contoh, jika di persekitaran rumah ada kucing yang menjadi pemeliharaan seseorang dan beberapa kucing lain yang berkeliaran, janganlah makanan disediakan untuk kucing yang dipelihara sahaja. Sediakan juga makanan kepada kucing-kucing yang lain.

Berdasarkan hadis-hadis di atas juga, kita patut bersikap terbuka untuk menilai semula, sejauh manakah pendapat yang mengatakan ANJING adalah najis berat. Pendapat ini memang masyhur akan tetapi kemasyhuran sesuatu hukum tidak menjamin kebenarannya. Justeru marilah kita menilai semula hukum kenajisan ANJING.

Hukum Kenajisan ANJING
ANJING dan air liurnya termasuk di dalam perkara yang diperselisihkan oleh para fuqaha mengenai kenajisannya. Dalam erti kata lain, para fuqaha tidak sepakat mengatakan bahawa ANJING itu najis secara mutlak (Rujuk Zubdatul Ahkam, Al-Qadhi Sirajuddin al-Hindi,ms.36). Tidak seperti babi, tiada satu pun dalil yang disebutkan di dalam al-Quran mengenai hukum-hakam yang berkaitan dengan ANJING. Ia hanya disebutkan di dalam beberapa riwayat hadis yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w, itu pun yang berkaitan dengan hukum jilatan ANJING, bukan kenajisannya. Antara hadis-hadis yang disebutkan adalah seperti berikut:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Jika seekor ANJING menjilat bejana salah satu dari pada kamu sekalian, maka hendaknya kamu menuangkan bejana itu (mengosongkan isinya) kemudian membasuhnya tujuh kali" (HR.Imam Muslim:al-Fiqhu Alal Madzhahibil,Juz I,hal.16).

Dalam sebuah hadisnya lain Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Apabila seekor ANJING minum dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka basuhlah ia tujuh kali".[4]

Hadis ini dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Shahih al-Bukhari, hadis no:172. Dalam riwayat lain diterangkan bahawa salah satu basuhan hendaklah bersama dengan tanah. Sebahagian riwayat menyebut basuhan kali pertama, sebahagian lagi kali terakhir dan sebahagian lagi kali ke-lapan. Yang rajih (kuat) adalah basuhan kali pertama kerana sifat riwayat-riwayatnya.[5]

Berdasarkan hadis ini wujud dua pendapat tentang kenajisan ANJING. Pendapat pertama berkata ANJING adalah najis keseluruhannya manakala pendapat kedua berkata ianya tidak najis keseluruhannya. Perincian pendapat-pendapat tersebut adalah seperti berikut:

Pendapat Pertama: ANJING adalah najis keseluruhannya
Pendapat Pertama menyatakan bahawa seluruh ANJING sama ada kecil atau besar adalah najis, berdasarkan adanya perintah mencuci bejana yang dijilatnya sebanyak tujuh (7) kali. Bahkan menurut pendapat Imam al-Syafi‘iy tentang najisnya ANJING ini termasuk najis Mughollazoh (najis yang diberatkan). Sebab mencuci bejana yang kena najis tersebut sampai tujuh (7) kali dan satu (1) kali diantaranya harus dicampuri dengan debu tanah. Ini adalah pendapat mazhab al-Syafi‘iy dan Hambali, amat ketat dalam persoalan ANJING.[6] Pendapat ini diikuti oleh umumnya Kaum Muslimin di Malaysia dan mereka yang bermazhab al-Syafi‘iy. Terdapat dua dalil yang menjadi hujah bagi pendapat pertama ini:

Dalil Pertama: Berdasarkan kaedah Qiyas
Menurut mereka ANJING dan babi serta yang lahir dari keduanya adalah najis, termasuk keringatnya. Suruhan Rasulullah s.a.w untuk membasuh bekas yang diminum oleh ANJING adalah dalil bagi menunjukkan najisnya lidah, air liur dan mulut ANJING. Memandangkan lidah dan mulut adalah anggota utama dimana tanpa lidah dan mulut haiwan tersebut akan mati kerana tidak boleh mandapatkan makanan dan minuman. Jika lidah dan mulut dikategorikan sebagai najis, maka sudah tentu lain-lain anggotanya - yakni seluruh badannya – adalah najis juga. Lebih dari itu air liur ANJING terhasil daripada peluhnya sendiri, maka jika peluh yang keluar dari mulut (yakni air liur) adalah najis, maka sudah tentu peluh yang keluar daripada seluruh badannya adalah najis juga. Maka dengan itu seluruh badan ANJING adalah najis.


Dalil Kedua: Berdasarkan sebuah Hadis

Maksudnya: "Bahawasanya Rasulullah s.a.w diundang ke rumah satu kaum lalu baginda memenuhi undangan tersebut, kemudian baginda diundang ke rumah satu kaum yang lain namun tidak baginda memenuhinya. Lalu ditanya kepada baginda kenapa?
Baginda menjawab: “Sesungguhnya pada rumah si fulan itu ada ANJING”.
Lalu dikatakan kepada baginda: “Dalam rumah si fulan (undangan pertama) ada kucing.
Baginda menjawab: “Sesungguhnya kucing bukan najis”.

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Daruquthni dan al-Hakim. Berdasarkan hadis ini difahami bahawa ANJING adalah najis (berbeza dengan kucing yang bukan najis).

Imam An-Nawawi menyebut di dalam Al-Minhaj: "Yang disebut najis itu adalah: Setiap cecair yang memabukkan, ANJING, babi dan apa-apa yang lahir dari keduanya…” (Mughni Al-Muhtaj, Khatib Syarbini:1/110).

Pendapat Kedua: ANJING adalah tidak najis keseluruhannya
Adapun dalam pandangan Pendapat Kedua menyatakan bahawa ANJING secara mutlak (keseluruhannya) --baik yang dijadikan sebagai penjaga, pemburu atau apa saja-- adalah tidak najis (suci) sebagaimana haiwan yang lain kecuali kekotorannya (tahi), demikian yang masyhur daripada Mazhab Maliki. Para pengikut Mazhab Maliki mengatakan bahawa tiap-tiap barang yang hidup itu suci keadaannya selama dia masih hidup saja walaupun seekor ANJING atau Babi. Adapun bila ada barang yang dijilat ANJING diperintahkan mencucinya tujuh (7) kali. Perintah yang demikian itu harus ditaati tetapi tidak ditegaskan bahawa perintah mencuci sedemikian itu disebabkan kerana najisnya ANJING. Demikian ini yang diikuti oleh mereka yang bermazhab Maliki.

Dalam mazhab Abu Hanifah (Hanafi), ANJING pada dasarnya zatnya adalah makluk yang suci (tidak najis), dengan alasan antara lain agama membolehkan kita memeliharanya dalam rangka berburu atau penjagaan. Para pengikut mazhab Hanafi setuju bahawa ANJING itu suci keadaannya selama dia masih hidup saja. Yang najis menurut penganut mazhab Abu Hanifah hanya mulutnya saja atau air liur dan kotorannya (tahi)[7] selama ANJING masih hidup, dengan alasan kerana mengikuti najisnya daging ANJING itu sesudah matinya. Hadis ini hanya menerangkan tentang kenajisan mulut dan jilatan ANJING semata-mata. Oleh itu, tidak sah mengQiyaskan kenajisan mulut dan jilatannya kepada seluruh badan. Dan yang demikian ini diikuti oleh mereka yang bermazhab Hanafi (al-Fiqhu Alal Madzahibil Arbaah:Juz I,hal.16).

Tokoh-tokoh Mazhab Maliki berpendapat suruhan Rasulullah s.a.w untuk membasuh bekas yang diminum oleh ANJING bukanlah disebabkan oleh kenajisan mulut, lidah dan air liur ANJING tetapi disebabkan kepada ketaatan kepada Allah semata-mata (ta’abudi). Mereka berpendapat sedemikian dengan merujuk kepada lain-lain hadis Rasulullah yang membenarkan penggunaan ANJING terlatih untuk berburu dan tiadalah seekor ANJING memburu dan membunuh mangsanya melainkan melalui gigitan mulutnya. Haiwan yang ditangkap oleh ANJING buruan tersebut adalah tetap suci untuk dimakan seluruhnya. Semua hadis-hadis yang menerangkan tentang perintah membasuh bekas yang terkena jilatan ANJING telah dimansukhkan oleh Ayat 4 dari Surah al-Maidah. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya" (Surah al-Maidah:4).

Ayat ini diturunkan di saat-saat akhir sebelum kewafatan Rasulullah s.a.w. Lalu ia memansukhkan semua hadis-hadis yang menerangkan tentang jilatan ANJING tersebut. Berdasarkan gabungan dalil-dalil ayat di atas dan hadis-hadis yang membenarkan penggunaan ANJING terlatih untuk memburu, mazhab Maliki berpendapat bahawa mulut, lidah dan air liur ANJING bukanlah najis.

Sedikit berbeza adalah mazhab Hanafi di mana mereka berpendapat ANJING bukan najis kecuali mulut, lidah dan air liurnya adalah najis dengan merujuk secara zahir kepada hadis yang pertama di atas.

Pendapat yang Rajih (Kuat)
Pendapat yang dianggap rajih (terkuat) adalah Pendapat Kedua. Sebab-sebabnya adalah seperti berikut:

Sebab Pertama
Kaedah Qiyas yang digunakan untuk menghukum seluruh ANJING sebagai najis adalah Qiyas yang lemah.

Ini kerana asal pengusulan kaedah Qiyas adalah bagi mencari hukum terhadap kes baru yang tidak wujud pada zaman turunnya wahyu yakni al-Qur’an dan al-Sunnah. illat atau sebab bagi kes yang baru tersebut dikaitkan secara analogi kepada satu kes yang sudah sedia wujud pada zaman penurunan wahyu.

Menggunakan Qiyas untuk menghukum keseluruhan ANJING sebagai najis dianggap lemah kerana ANJING pada asalnya sudah wujud pada zaman turunnya wahyu. Bererti ia bukanlah kes yang baru. Apabila sesuatu kes itu sudah sedia wujud di zaman penurunan wahyu dan tidak ada wahyu yang menerangkan hukumnya, bererti sememangnya Allah tidak bermaksud untuk menurunkan apa-apa hukum ke atasnya.

Apabila tiada hukum yang diturunkan maka ia kembali kepada kedudukan yang asal, iaitu HALAL / HARUS / BERSIH. Firman Allah:

Tafsirnya: "Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi" (Surah al-Baqarah:29).

Tafsirnya: "Dan Dia (Allah) memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaan-Nya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti" (Surah al-Jatsiyah:13).

Tafsirnya: "Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin?" (Surah Luqman:20).

Kesimpulannya, ANJING adalah haiwan yang sedia wujud pada zaman Rasulullah s.a.w Apabila tiada ketentuan hukum diturunkan dalam persoalan najis atau tidaknya ANJING, bererti hukum ANJING kembali kepada yang asal, iaitu ia adalah haiwan yang tidak najis.

Sebab Kedua
Hadis yang menerangkan keengganan Rasulullah s.a.w memenuhi undangan kerana ada ANJING di dalam rumah adalah lemah (dha‘if). Berkata Syaikh ‘Adl Ahmad ‘Abd al-Mawjud dan Syaikh ‘Ali Muhammad Ma'wudh ketika
men-takhrij hadis tersebut:[8] "Dikeluarkan oleh Ahmad (2/442), al-Hakim (1/183), al-‘Uqaili dalam al-Dhu‘afa’ (3/386) dan al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (1/151); setiapnya daripada jalan ‘Isa bin al-Musayyab, daripada Abi Zur’ah, daripada Abi Hurairah.

Berkata al-Hakim: “Dan ‘Isa bin al-Musayyab berseorangan daripada Abi Zur’ah kecuali bahawasanya beliau benar (shaduq) dan tidak dicela secara pasti”.

Namun ini kemudiannya diikuti dengan komentar al-Zahabi: “Berkata Abu Daud (tentang ‘Isa bin al-Musayyab): Dha’if. Berkata Abu Hatim: Tidaklah dia kuat”.

Diriwayatkan oleh al-‘Uqaili daripada Yahya bin Ma’in bahawa dia berkata: “Isa bin al-Musayyab dha’if”.

Berkata al-Haitsami di dalam al-Majma’ (4/48): “Diriwayatkan oleh Ahmad dan di dalam (sanadnya) terdapat ‘Isa bin al-Musayyab, dinilai terpercaya (thiqah) oleh Abu Hatim dan dha’if oleh selainnya”. (Ini tidak benar) kerana Abu Hatim tidak menilai beliau thiqah, beliau hanya berkata tentangnya dalam al-Jarh wa al-Ta’dil (6/288): “Dianggap shaduq akan tetapi kuat”.

Demikian takhrij oleh Syaikh ‘Adl Ahmad ‘Abd al-Mawjud dan Syaikh ‘Ali Muhammad Ma’wudh. Selain itu, al-Daruquthni dan al-Baihaqi menilai ‘Isa bin al-Musayyab sebagai “shalih al-Hadis”. Akan tetapi dalam ilmu hadis sedia diterangkan bahawa apabila bertembung celaan dan pujian, hendaklah diunggulkan celaan tersebut.

Oleh kerana itu Syaikh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Sunan al-Daruquthni (Muassasah al-Risalah, Beirut 2004), jilid 1, ms 103 telah mengkategorikan hadis ini sebagai: “Hadis Dha’if”.

Kesimpulannya, hadis ini dha’if dan tidak boleh dijadikan sumber dalil dalam perkara hukum.

Sebab Ketiga
Hadis yang dijadikan dalil dalam Mazhab al-Syafi’iy berakhir dengan lafaz: “Sesungguhnya kucing bukan najis”. Lafaz ini sebenarnya tidak wujud di dalam mana-mana kitab hadis yang meriwayatkan hadis tersebut. Lafaz yang terdapat dalam Sunan al-Daruquthni adalah:

Maksudnya: "Rasulullah s.a.w pernah datang ke rumah satu kaum daripada kalangan orang-orang Anshar namun baginda enggan masuk rumah mereka. Ini menimbulkan kegelisahan ke atas mereka (tuan rumah) lalu mereka bertanya: “Ya Rasulullah, anda datang ke rumah si fulan tetapi anda enggan pergi ke rumah kami”.
Maka baginda menjawab: “Ini kerana rumah kamu ada ANJING”.
Mereka berkata: “Akan tetapi pada rumah mereka ada kucing”.
Rasulullah menjawab: “Kucing adalah sejenis binatang buas (yakni tidak tetap penjagaannya, sering merayau-rayau)”.

Oleh itu al-Hafiz al-‘Iraqi telah berkata:[9] "Seandainya sabit tambahan ini (yakni "Sesungguhnya kucing bukan najis”), ia telah menjadi sumber pendalilan yang masyhur. Akan tetapi ianya tidak dikenali asal usulnya di dalam mana-mana kitab hadis yang sedia ada.

Padahal hadis ini diriwayatkan dengan tambahannya oleh Imam Ahmad, dalam Musnadnya, al-Daruquthni dalam Sunannya dan al-Hakim dalam al-Mustadraknya daripada riwayat ‘Isa bin al-Musayyab daripada Abi Zur’ah daripada Abi Hurairah, kecuali mereka tidak menyebut dalam (kitab-kitab mereka) lafaz: “Sesungguhnya kucing bukan najis”.

Sesunguhnya yang disebut adalah sabda Nabi s.a.w: "Kucing adalah sejenis binatang buas”.

Dan berkata al-Daruquthni sesudah mengeluarkan hadis tersebut: "Isa bin al-Musayyab Shalih al-Hadis”.

Dan berkata al-Hakim: "Hadis ini sahih isnad dan tidak dikeluarkan (oleh al-Bukhari atau Muslim) dan ‘Isa bin al-Musayyab berseorangan daripada Abi Zur’ah, akan tetapi (tak mengapa) kerana dia benar (shaduq) dan tidak dicela secara pasti”.

Saya (al-Hafiz al-Iraqi) berkata: "Bahkan yang benar dia telah dicela oleh Ibn Ma’in, Abu Daud, al-Nasa’iy, Ibn Hibban dan al-Daruquthni sendiri di tempat yang lain".

Kesimpulannya, hadis yang dijadikan dalil kenajisan ANJING tertolak dari dua sudut:
Pertama, adalah kelemahan sanadnya.
Kedua, adalah tambahan lafaz “Sesungguhnya kucing bukan najis” yang sebenarnya tidak wujud dalam
mana-mana kitab hadis.

Berdasarkan tiga sebab di atas, maka yang rajih (kuat) ialah Pendapat Kedua, iaitu ANJING tidak najis. Hadis yang menyuruh menyucikan bekas yang dijilat oleh ANJING tidak semestinya bererti jilatan ANJING itu najis, sebagaimana kita manusia juga disuruh berwudhu’ dan bertayamum – suruhan ini tidaklah bererti kita najis. Akan tetapi ia adalah ketaatan kita kepada perintah Allah dan Rasul-Nya semata-mata.

Inilah juga merupakan pendapat Yusuf al-Qaradhawi. Setelah mengkaji dalil masing-masing mazhab, beliau merumuskan:[10]

Ertinya: "Di antara yang najis ialah air liur ANJING. Disebut dalam Shahih al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Apabila seekor ANJING minum dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka basuhlah ia tujuh kali". Ini juga sebagaimana telah ditetapkan menurut hadis keduanya (al-Bukhari dan Muslim) dan selain keduanya daripada hadis ‘Abd Allah bin Mughaffal tentang kenajisannya. Dengan demikian, jelaslah tentang najisnya air liur ANJING itu.

Bahkan, di sana ada beberapa fuqaha yang menyebut tentang kenajisan semua anggota tubuh ANJING. Padahal tidak ada dalil yang menunjukkan hal ini baik dari Al-Quran maupun sunnah Rasulullah. Sedangkan pengambilan dalil tentang dijilat atau minumnya ANJING dari tempat air, maka itu khusus untuk sesuatu yang dijilat saja. Tidak ada yang menunjukkan pada kenajisan ANJING secara keseluruhan: daging, tulang, darah, bulu dan keringat. Sedangkan mengQiyaskan ini dengan jilatan ANJING, adalah bentuk Qiyas yang sangat jauh sekali, sebagaimana disebut oleh Imam al-Syaukani. Khususnya jika dikaitkan dengan hadis ‘Abd Allah ibn ‘Umar (yang menerangkan): "ANJING masuk dan keluar di masjid pada masa Rasulullah dan Para Sahabat tidak memercikkan air apa pun” (HR.al-Bukhari dan Abu Daud).

Ada juga sebagian yang lain yang mengatakan tentang kesucian semua anggota tubuh ANJING dan mengatakan, sesungguhnya dicucinya tempat yang dijilat ANJING adalah masalah yang bersifat ibadah (ta'abbudi), yang hikmahnya hanya Allah yang tahu. Sedangkan yang wajib kita lakukan adalah mengamalkan apa yang ada di dalam nash walaupun kita tidak mengetahui hikmahnya. Ini adalah mazhab Imam Malik.

Imam Malik berhujah bahawa Allah membolehkan makan dari hasil buruan ANJING tanpa memerintahkan kita untuk mencucinya. Sebagaimana yang Allah Ta'ala firmankan yang tafsirnya: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya" (Surah al-Maidah:4).

Sedangkan saya sendiri (al-Qaradhawi) cenderung pada pendapat Imam Malik bahawa semua yang hidup adalah suci. Demikianlah juga dengan ANJING. Dalam zatnya dia suci. Oleh sebab itulah dibolehkan bagi kita untuk memakan hasil buruannya. Dan perintah Nabi untuk mencuci apa yang dijilat ANJING adalah sesuatu yang bersifat ta'abbudi. Sedangkan penemuan ilmu moden tentang sesuatu yang menyangkut air liur ANJING bahawa di dalamnya ada penyakit-penyakit, kemungkinan penemuan selanjutnya akan lebih mengejutkan".

Di atas merupakan pendapatnya yang terbaru, membatalkan pendapat beliau yang lama dalam kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam. Seterusnya terdapat tiga persoalan lanjut yang perlu dijelaskan:

Persoalan Pertama
Jika ANJING tidak najis, haruskah kita mencuci jilatannya jika ia menjilat kita atau perkakas kita?

Penjelasan kepada Persoalan Pertama
Jawapannya ya, berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang menyuruh kita mencuci jilatan ANJING. Kita mencucinya bukan kerana ia najis tetapi kerana taat kepada perintah Rasulullah s.a.w

Persoalan Kedua
Apabila tersentuh jilatan atau air liur ANJING, adakah cara menyucinya wajib dengan tujuh kali basuhan diawali dengan campuran tanah atau boleh dicuci dengan apa sahaja yang bersifat menyucikan?

Penjelasan kepada Persoalan Kedua
Di sini para fuqaha berbeza pendapat sama ada boleh menggunakan sabun bagi menggantikan tanah. al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh al-Thaharah, ms 61-63 menerangkan bahawa sebahagian fuqaha Syafi‘iyyah kontemporeri membolehkan penggunaan sabun.

Bahkan Mazhab Maliki mengatakan penggunaan tanah/debu adalah tidak wajib, ia sunat sahaja.

Manakala menurut ulamak mazhab Hambali (fuqaha Hanabilah) bahan-bahan lain boleh juga digunakan ketika menyamak sebagai menggantikan tempat tanah yang disebutkan di dalam hadis yang lalu, kerana tanah mempunyai unsur-unsur kekuatan dalam menghilangkan najis. Ini bermakna sabun dan bahan-bahan pencuci yang lain boleh juga digunakan untuk menyamak benda yang terkena badan ANJING dan babi yang basah tadi kerana ia juga mempunyai daya kekuatan yang tidak kurang berbanding tanah dalam menghilangkan kotoran yang terdapat pada benda yang terkena badan ANJING dan babi tadi (Rujuk Fikah Islami Waadillatuhu oleh Prof Dr. Wahbah Az-Zuhaili).

Pendapat yang dipertengahan lagi mendekati hadis-hadis Rasulullah s.a.w ialah mencuci jilatan ANJING dengan tujuh kali basuhan diawali dengan campuran tanah. Akan tetapi jika tidak ditemui tanah atau pada saat itu tidak sesuai untuk menggunakan tanah, maka dibolehkan menggunakan sabun atau apa jua yang sifatnya menyucikan. Ini kerana mencuci jilatan ANJING ialah duduk dalam bab ketaatan kepada perintah syari‘at dan ketaatan ini adalah berdasarkan kemampuan setiap individu berdasarkan kesenangan dan kesukaran yang dihadapinya. Jika menghadapi kesukaran untuk mentaatinya, maka syari‘at memberi kelonggaran sekadar mana yang perlu. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Maksudnya: "Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu" (Surah al-Taghabun 64:16).

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: "Apa sahaja yang aku larang kamu daripadanya maka tinggalkanlah ia dan apa sahaja yang aku perintahkan kamu dengannya maka lakukanlah ia sedaya upaya kamu".[11]

Persoalan Ketiga
Bolehkah orang Islam memelihara ANJING sebagai haiwan kesayangan (pet)?

Penjelasan bagi Persoalan Ketiga
Seringkali kita dengar suatu wacana jika pemeluk agama Islam tidak diperbolehkan memelihara ANJING. Bahkan tak sedikit pemuka agama Islam yang menyebutkan jika hukum memelihara ANJING adalah haram. Akibatnya, jangankan memelihara ANJING, keberadaan ANJING itu sendiri sudah dianggap haram. Seolah ANJING adalah haiwan yang memiliki kedudukan paling nista dari sekian banyak haiwan ciptaan Allah s.w.t. Tentu saja, hal itu membuat keinginan sejumlah orang beragama Islam untuk memelihara ANJING berada di ambang keraguan. Sama halnya dengan permasalahan lain, jika kita mahu mendalami suatu ajaran agama dengan benar, tentu akan diperoleh kejelasan tentang jawaban suatu persoalan. Begitupun dengan persoalan mengenai memelihara ANJING.

Dalam Al-Quran dan hadis Nabi s.a.w membicarakannya dalam konteks yang sangat "manusiawi". Surah al-Kahfi misalnya menguraikan bagaimana sekelompok pemuda yang amat taat beragama mengungsi ke sebuah gua untuk mempertahankan akidah agamanya dengan ditemani oleh seekor ANJING (Rujuk Surah al-Kahfi:9-26). Al-Quran juga membolehkan menggunakan ANJING dan binatang buas lainnya yang diajar untuk berburu dan hasil buruannya -- selama tidak dimakannya walau sedikit -- halal dimakan oleh siapa pun (Rujuk Surah al-Maaidah:4).

Patut diketahui bahawa umat Nabi Muhammad tidak hanya terbatas pada manusia, namun seluruh semesta alam. Dengan demikian, semua binatang, tumbuhan dan benda-benda tak hidup juga termasuk dalam kapasiti umat Nabi Muhammad. Firman Allah dalam Surah Al-An’am:Ayat 38 menyebutkan yang tafsirnya: "Tidak ada satupun binatang di bumi dan burung yang terbang dengan dua sayapnya, melainkan suatu umat seperti kamu juga”.

Dalam suatu hadis dari Jabir r.a, Nabi Muhammad pun pernah bersabda yang maksudnya: “Andaikata ANJING-ANJING itu bukan umat seperti umat-umat yang lain, nescaya saya perintahkan untuk dibunuh” (HR.Abu Daud dan at-Tarmizi, dinilai sahih oleh al-Albani dalam Ghayatul Maram).

Dari firman Allah dan hadis Rasul di atas, jelas terlihat adanya suatu pengakuan jika ANJING pun merupakan umat Nabi Muhammad.

Maka jawapan kepada soalan ketiga boleh diperolehi dengan merujuk kepada hadis dari Sufyan bin Abu Zuhair, bahawa Nabi s.a.w bersabda yang maksudnya: "Sesiapa mengambil ANJING (sebagai peliharaan) kecuali ANJING menjaga tanaman atau ANJING menjaga ternakan atau ANJING berburu, maka setiap hari pahalanya berkurang satu Qiraat".[12](HR.Muslim:Juz 1,hal.686,no.1574; HR.Jamaah).

**Kata Qiraat dalam hadis itu merupakan ukuran sebesar Gunung Uhud**

Terhadap hadis di atas para fuqaha berbeza pendapat, adakah haram atau makruh untuk memelihara ANJING atas sebab-sebab selain menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan. Pendapat yang rajih (kuat) adalah makruh hukumnya, sebagaimana ulas al-Syaukani [13]: "Ini menjadi dalil atas kebolehan memelihara ANJING atas sebab-sebab selain daripada apa yang disebut (dalam hadis di atas) jika memang ada suatu kepentingan tertentu. Sesungguhnya ia tidak haram kerana sesuatu yang jika penggunaannya adalah haram ia tidak boleh digunakan dalam semua keadaan tak kira sama ada ia mengakibatkan pengurangan pahala atau tidak. Maka ini menunjukkan bahawa penggunaannya (memelihara ANJING selain daripada tujuan menjaga tanaman, ternakan dan berburu) adalah makruh dan bukan haram".

Dalam berbagai riwayat, tersiratlah suatu maksud akan adanya larangan memelihara ANJING. Nabi Muhammad melarang umatnya memelihara ANJING di dalam rumah tanpa ada suatu keperluan. Antara alasan-alasan fuqaha’ seperti Ibn Hajar (Rujuk al-Fath:X/395) melarang memelihara ANJING di dalam rumah ini sebenarnya lebih bertujuan:

1. Untuk menghindari najis dari bejana yang terkena jilatan ANJING. Tabiat ANJING yang suka menjilat dan kenajisan jilatan itu mungkin menyukarkan pemeliharanya.

2. Sementara itu, sebagian pemuka agama Islam menafsirkan jika ANJING yang menyalak seringkali menakutkan jiran-jiran dan orang lalu lalang diluar rumah kita. Oleh kerana itu, kurang baik jika dipelihara di dalam rumah kerana akan mengganggu tamu yang datang mengunjunginya.

3. Berkurangnya pahala kepada pemeliharanya.

4. Keengganan Malaikat masuk rumah yang ada ANJING.


5. Ada ANJING yang menjadi dari jelmaan ANJING (ANJING hitam pekat)
.

Kata al-Qardhawi: "Walaupun majoriti fuqaha’ mengatakan haram, hakikat sebenarnya Islam tidaklah melihat ANJING dengan keras, kasar dan harus membunuhnya".

Dari hujah-hujah di atas, jelas bahawa persoalan halal haram dalam memelihara ANJING bersifat kondisional. Adapun ANJING yang dilarang dalam hadis ini hanyalah ANJING yang dipelihara tanpa ada keperluan. Walaupun memelihara ANJING ditegah menjadi hobi, Islam tidaklah bersikap keras kepada ANJING jika ada keperluan. ANJING boleh dibela untuk tujuan-tujuan yang berikut:

1. ANJING yang Dilatih (ANJING Terlatih) untuk Kerja-Kerja Memburu

Harus diingat, Islam hanya membenarkan pemburuan untuk mendapatkan makanan; bukan memburu kerana sukan, suka-suka dan berseronok-seronok kerana Islam tidak membenarkan haiwan dibunuh atau diseksa atau diusir dari tempat yang lazim mereka tinggal, hanya untuk suka-suka.

2. Membela ANJING Terlatih sebagai Jurupandu
Ini mungkin diperlukan oleh orang yang buta dan mungkin orang itu perlu memelihara ANJING untuk memberi khidmat yang diperlukannya. Dalam hal itu, orang itu dibenarkan memelihara ANJING di dalam rumah apabila ANJING itu telah dilatih untuk menjalankan khidmat berkenaan, tetapi masih tetap disyorkan supaya ANJING itu ditempatkan di tempatnya sendiri secara berasingan daripada tuannya.

3. ANJING Terlatih untuk Kegunaan Tugas-Tugas Khas

Seperti ANJING terlatih untuk kegunaan tugas-tugas menjaga kemaslahatan dan menolak kemudharatan seperti mencari penjahat atau menangkap penjahat, kepolisian dan militeri.

4. ANJING terlatih untuk menjaga rumah atau harta.


5. ANJING terlatih untuk digunakan oleh penternak/peladang untuk kerja-kerja menggembala kambing/lembu.


ANJING yang telah dilatih/dididik untuk digunakan atau dimanfaatkan dalam keperluan ini disebut ANJING Terpelajar (KALBUL MUALLAM). Tanda-tanda ANJING tersebut ialah bila dilepaskan untuk menangkap buruan atau binatang buruan seperti rusa dan sebagainya, maka setelah buruan ditangkap tidaklah dimakannya tetapi diserahkan kepada tuannya atau di tinggalkan untuk tuannya.

Oleh kerana itu, sejumlah ahli fiqh lebih merujuk hukum makruh pada tindakan memelihara ANJING. Dengan demikian, sebenarnya umat Islam dilarang bersikap keras terhadap keberadaan ANJING. Ada pendapat yang mengatakan ia makruh sahaja kerana tiada larangan yang tegas dan keras, demikian kata Ibn Abdil Barr (at-Tamhid:14/221).

Rasulullah juga pernah mengkisahkan kepada Para Sahabat tentang seorang lelaki yang menjumpai ANJING di padang pasir yang terus menyalak-nyalak sambil makan debu kerana kehausan. Lantas laki-laki itu menuju ke sebuah sumur dan melepas sepatunya untuk diisi dengan air sumur tersebut. Kemudian, dengan penuh kasih sayang, ia memberikan air itu kepada ANJING yang kehausan tersebut. Hingga akhirnya, minumlah ANJING tersebut dengan puas. Dengan adanya tindakan yang dilakukan laki-laki itu, Nabi bersabda: "Kerana itu (tindakan menolong ANJING yang kepayahan), Allah berterima kasih kepada orang yang memberi pertolongan itu serta mengampuni dosanya” (HR.Bukhari).

Ringkasan Fatwa dan Kenyataan ulamak
Berikut adalah ringkasan fatwa dan kenyataan ulamak dari pelbagai mazhab tentang ANJING sebagai perbandingan:

1. Air Liur ANJING
Tentang air liur ANJING menurut ulamak mazhab Hanafi, al-Syafi‘iy, Hambali, imam Ahmad dan jumhur ulamak hukumnya adalah najis, kerana berpegang dengan hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad yang memerintahkan seseorang menyamak bekas yang dijilat oleh ANJING. Ini menunjukkan air liur ANJING itu adalah najis.

Dari hadis di atas juga sebenarnya yang najis adalah mulut atau air liur ANJING. Sepertimana diterangkan dalam kitab Jawi apabila basah bertemu basah ia adalah najis, dan jika kering bertemu kering, tidak najis.

Bagi Imam Maliki, ANJING adalah suci, termasuklah air liurnya. Beliau berpendapat perintah membasuh bekas yang dijilat oleh ANJING yang terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad itu disebabkan kotoran yang terdapat pada badan ANJING bukan kerana kenajisannya.

2. Bulu ANJING
Bagi ulamak mazhab Maliki, bulu ANJING adalah tidak najis (suci).
Menurut ulamak mazhab Hanafi, bulu ANJING adalah tidak najis (suci) kerana Rasulullah s.a.w melarang memakan daging bangkai termasuklah ANJING bukan menggunakan bulunya.
ulamak mazhab al-Syafi‘iy dan Hambali pula menghukumkan bulu ANJING adalah najis. Bagaimanapun jika bulu ANJING itu kering tidak perlu kepada seseorang menyamak pakaiannya apabila terkena sentuhan bulu ANJING yang kering. Ia hanya perlu menyamak apabila tersentuh bulu ANJING yang basah (Rujuk Fikah Islami Waadillatuhu oleh Prof. Dr Wahbah Az-Zuhaili).

3. Kulit ANJING
Bagi ulamak mazhab Maliki, kulit ANJING adalah tidak najis (suci).
Menurut ulamak mazhab Hanafi, kulit ANJING adalah tidak najis (suci) sebagaimana juga bulu ANJING.
Menurut ulamak mazhab al-Syafi‘iy dan Hambali, kulit ANJING adalah najis.

4. Badan ANJING
Bagi ulamak mazhab Maliki, badan ANJING adalah tidak najis (suci).
Menurut ulamak mazhab Hanafi, badan ANJING adalah tidak najis (suci).
Menurut ulamak mazhab al-Syafi‘iy dan Hambali, badan ANJING adalah najis.

5. Daging ANJING
Imam Malik berpendapat ANJING adalah bersih dan suci kerana tidak ada ayat Al-Quran yang mengatakan ia najis dan mereka membolehkan makan ANJING yang dibela.
Mazhab Hanafi pula mengatakan ANJING adalah najis tetapi kurang atau rendah sedikit dari babi kerana ia boleh digunakan untuk memburu. Maka memakan ANJING dan keturunannya adalah diharamkan.
Mazhab al-Syafi‘iy dan Hambali mengatakan ANJING adalah najis dan setaraf dengan babi. Manakala babi pula Allah mengharamkan kita memakan dagingnya seperti yg diturunkan didalam al-Quran. Maka ANJING dan keturunannya pun diharamkan kita memakan dagingnya kerana setaraf dengan babi.

6. Tahi dan Bangkai ANJING
Dalam semua mazhab, tahi dan bangkai ANJING dan babi serta keturunan adalah dianggap najis kerana Rasulullah s.a.w melarang memakan daging bangkai termasuklah ANJING.

7. Samak
Menurut ulamak mazhab al-Syafi‘iy dan Hambali, badan ANJING adalah najis. Apabila sesuatu yang kering terkena sama ada badan ANJING dan babi yang basah atau terkena anak yang dilahirkan hasil kacukan ANJING dan babi atau anak yang dilahirkan hasil kacukan ANJING atau babi dengan binatang lain yang halal dalam Islam, maka benda yang terkena itu hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali basuhan yang pertamanya dengan tanah berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad yang lalu. Basuhan benda yang terkena badan ANJING ini dikiaskan kepada benda yang terkena badan babi juga perlu dibasuh sebanyak tujuh kali, di mana yang pertamanya adalah tanah, kerana babi adalah lebih buruk dan jelek menurut kacamata syarak berbanding ANJING.

Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Apabila ANJING menjilat dalam bejana kamu, maka cucilah dia tujuh kali, salah satu di antaranya dengan tanah" (HR.Bukhari).

Hadis riwayat Tirmizi pula menyebut yang maksudnya: "Yang terakhirnya atau yang pertamanya".

Tentang samak pula, dari Abu Hurairah r.a katanya bersabda Rasulullah s.a.w: ”Membersihkan bejana yang dijilat ANJING, adalah dengan membasuhnya tujuh kali dan basuhan yang pertama dicampur dengan tanah” (HR.Muslim, Abi Dawud, Ibn Khuzaimah dan Dar Qutdni).

Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang maksudnya: "Sucinya bejana salah seorang di antara kalian, bila ANJING minum darinya, adalah dengan mencucinya tujuh kali, yang satu di antaranya dengan tanah" (HR Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah).

Walaubagaimanapun Abu Hurairah sendiri cuma membasuh sebanyak tiga (3) kali dengan air biasa sahaja. Mungkin hadis samak tujuh (7) kali sudah dibatalkan oleh hadis yang lain. Apapun sunat disamak dan saintis mengatakan kuman dari ANJING boleh dimatikan dengan air lumpur. Walaubagaimanapun, terdapat ulamak yang menganggap menyamak kulit ANJING akan menjadikannya suci dan halal untuk digunakan.

Mengapa kita harus menyamak jika terpegang ANJING?
Ahli sains berpendapat bahawa pada air liur ANJING terdapat virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, ia hanya dapat dilihat menggunakan microskop. Kita akan dapat lihat keaktifan virus itu berdasarkan ketebalan microskop itu. Jadi, fungsi utama tanah adalah untuk menyerap virus tadi dari aktif di permukaan kulit.

Perkara ini telah dibuktikan bahawa tanah adalah bahan yang mempunyai dua unsur iaitu isitu trakselin dan tarelite, dan dua unsur inilah yang digunakan untuk membuang virus yang terdapat pada air liur ANJING tadi.

Sebab itulah bila kita berjalan di atas tanah yang mana ANJING atau babi telah melalui tanah tersebut kita tidak perlu menyamak kasut kita kerana tanah yang kita pijak merupakan penghalang untuk kita mendapat virus dari ANJING dan juga segala jenis bakteria.


Cara Mencuci Najisnya ANJING
Caranya dengan mencuci barang-barang tersebut sebanyak tujuh (7) kali dan satu (1) kali pertama atau salah satu dari tujuh (7) kali, dicampur dengan debu tanah. Yang sedemikian ini berdasarkan Qaidah/Dalil-dalil. Mengenai apakah pemakaian debu tanah dapat digantikan dengan bahan-bahan lain?

1. Secara Physiche Waarde, maka dapat digunakan soda, sabun Potas dan lain-lain sebagai pengganti debu untuk campuran air basuhan (Kitab al-Fiqhusalah Madzahibil Arbaah Juz I Hal.29 dan Kifajatul Achjar Hal.71 ).

2. Tidak dapat diganti debu dengan bahan lainnya. Sebagai campuran air basuhan hanya dapat digunakan debu dan segala semacamnya (Debu halus, Kuning, Merah, Putih, Debu yang belum hancur bahkan debu campur Tepung). (Kitab al-Fiqhusalah Madzahibil Arbaah Juz I Hal. 30 dan Kitab Kifajatul Achjar Hal.71 ).

3. Mementingkan ada/tidak adanya debu dan atau rosak/tidaknya barang-barang itu dicuci dengan debu.

8. Bunuh ANJING (Petikan dari Nasbun Nurain Jilid 4)
Pertama kali, kami ingin menukil hadis di Shahih Muslim, dalam Kitab al-Musaqat, Bab:Perintah Membunuh ANJING & Penjelasan Naskh/Tahrim Memeliharanya Kecuali Untuk Keperluan Berburu, Pertanian, Penternakan dan semacamnya.

Hadis itu berbunyi demikian: "Diceritakan dari Muhammad bin Al-Mutsanna dan Ibnu Basyar --lafaznya versi Ibnu Al-Mutsanna-- mereka berkata: menceritakan kepada kami Muhammad bin Ja'far, berkata: menceritakan kepada kami Su'bah, dari Qatadah dari Abi al-Hakam, berkata: Saya mendengar Abdullah bin [Sayyidina] Umar bercerita: Dari Rasulullah s.a.w, bersabda yang maksudnya: "Barang siapa mengambil ANJING, kecuali ANJING [untuk keperluan] bertani atau berburu, pahalanya berkurang, setiap hari 1 Qiraat. Dalam riwayat lain pahalanya dikurangi 2 Qiraat (Qiraat adalah semacam satuan-satuan tertentu)".

Melihat hadis ini, para ulamak sebenarnya tidaklah sebagaimana yang kita kira, iaitu secara beramai-ramai membenarkan pembunuhan seluruh ANJING dengan berbagai jenisnya. Tapi, marilah kita perhatikan lebih lanjut. Yang pernah kita dapat dari pelajaran hadis, memang ada beberapa kelompok ulamak yang berbeda pendapat.

Satu kelompok memaknai hadis Rasul s.a.w tersebut dengan perintah membunuh seluruh macam ANJING, sedang kelompok yang kedua mengatakan hanya ANJING-ANJING tertentu saja yang diperbolehkan dibunuh dan kelompok ketiga tidak boleh membunuh ANJING-ANJING . Tidak disebutkan mana yang pendapat jumhur dan mana yang pendapat minor, tetapi dalam kisah-kisah disebutkan: "Pendapat yang menyatakan tidak semua ANJING perlu dibunuh ternyata dikatakan lebih masyhur". ulamak tidak meneruskan perintah tersebut dengan perintah membunuh seluruh ANJING, sekalipun teks dari Rasul cuma membatasi toleransinya kepada ANJING-ANJING "yang diperlukan tenaganya".

Pendapat Pertama: Membunuh Keseluruhan ANJING
Didalam Sahih Bukhari dan Muslim dan juga Sunan Nasa'i dan Kitab-kitab musnad menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w menyuruh kita membunuh ANJING kecuali ANJING buruan dan ANJING yang menjaga ladang atau menjaga ternakan. Didalam beberapa riwayat ada disebutkan bahawa sabda Nabi s.a.w sebagai berikut:

Maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengarahkan untuk membunuh ANJING".

Maksudnya: "Telah mengarahkan supaya dibunuh ANJING, hantarlah ia ke hujung bandar dan bunuh".

Maksudnya: "Rasulullah mengarah supaya membunuh ANJING kecuali ANJING buruan dan ANJING menjaga ladang atau menjaga ternakan".


Maksudnya: "Jauhilah dari ANJING berbintik hitam sesungguhnya ia adalah syaitan".

Maka dari hadis yang tersebut di atas ternyatalah Rasulullah mengarahkan membunuh ANJING dan melarang kita membela ANJING dan juga menyentuhnya kecuali ANJING buruan dan ANJING jaga.

Pendapat Kedua: Membunuh ANJING Tertentu
Dalam hadis lain, juga dari riwayat Imam Muslim. Terjemahan bebas riwayat tersebut begini: "Rasul telah memerintahkan kepada kita untuk membunuh ANJING. Sampai (suatu saat) datanglah seorang wanita Badwi dengan membawa ANJINGNYA, lalu ingin membunuhnya kerana dia ketahui adanya perintah Rasul sebelumnya.
Tapi Rasulullah s.a.w melarang dan bersabda: "(Diwajibkan) atas kalian (cukup) membunuh ANJING hitam yang memiliki dua bintik dimatanya, sebab itu (bukan ANJING melainkan) syaitan".

Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda yang maksudnya: "Malaikat Jibril datang kepadaku, kemudian ia berkata kepadaku sebagai berikut: Tadi malam saya datang kepadamu, tidak ada satu pun yang menghalang-halangi aku untuk masuk kecuali kerana di pintu rumahmu ada patung dan di dalamnya ada korden yang bergambar, dan di dalam rumah itu ada pula ANJING. Oleh kerana itu perintahkanlah supaya kepala patung itu dipotong untuk dijadikan seperti keadaan pohon dan perintahkanlah pula supaya korden itu dipotong untuk dijadikan dua bantal yang diduduki, dan diperintahkanlah ANJING itu supaya dikeluarkan" (HR.Abu Daud, Nasa'i, Tarmizi dan Ibnu Hibban).

Dari Saidatina Aisyah r.a beliau berkata: "Telah berjanji Jibril dengan Rasulullah akan datang dalam suatu waktu, pada ketika janji itu telah tiba waktunya, Jibril tidak datang.
Di tangan Nabi ada sebatang tongkat, maka baginda buang tongkat itu sambil berkata: "Tuhan dan RasulNya tidak akan menyalahi janji".
Kemudian Nabi melihat ke sebelahnya, maka baginda melihat ada anak ANJING di bawah tempat tidurnya. Maka baginda bertanya: "Bila masuknya ANJING ini?"
Siti Aisyah menjawab: "Saya tidak tahu".
Lalu disuruh usir keluar ANJING itu. Setelah ANJING itu keluar datanglah Jibril A.S dan Nabi terus bertanya: "Engkau berjanji denganku akan datang dan aku menunggu tetapi engkau tidak datang".
Jawab Jibril: "ANJING yang berada di rumahmu yg menghalangi aku, kerana Kami (Malaikat) tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya ANJING dan gambar (patung)".
(Hadis riwayat Imam Muslim).

Hadis itu mungkin menjadi 'mubayyin' (penjelas) atas hadis-hadis lain, seperti juga hadis yang menceritakan penantian Rasul atas Jibril, tapi ternyata Jibril tidak mahu masuk ke kediaman Rasul kerana di dalamnya ada ANJING. "Kami tidak (mahu) masuk rumah yang ada ANJING dan gambar, demikian alasan Jibril tidak mahu menemui Rasul s.a.w" (HR.Bukhari melalui Abu Thalhah).

Kita kurang tahu pasti, bila malaikat Jibril pertama kali tidak mau menemui Rasulullah s.a.w kerana di dalamnya ada ANJING. Tapi sekedar dugaan saja, pernyataan (stateman) malaikat Jibril itu terjadi jauh setelah kelahiran Sayyidina Hasan dan Husain. Sebab di masa kecilnya, kedua anak kecil itu diceritakan sering bermain-main dengan ANJING. Ertinya, ANJING saat itu --sebelum kes Jibril-- benar-benar ANJING yang bebas menentukan jalan hidupnya, dan belum tersentuh oleh proses-proses kedatangan agama Islam.

Baru setelah kejadian Jibril itu, eksistensi ANJING agak tersisih yang --konon-- lantaran disisihkan oleh syariat Islam itu sendiri. Bahkan persoalannya tidak hanya malaikat Jibril yang enggan bertemu dengan ANJING, disabdakan oleh Rasulullah s.a.w, kalau piring kita terjilati ANJING pun mesti dibersihkan dengan cara tujuh (7) kali cucian ditambah sekali menggunakan debu tanah.

Menurut Ibnu Hajar, yang disepakati ulamak adalah membunuh ANJING yang "aqoor", yakni yang suka menggigit. Kalau hanya demikian, sangat logik kalau ANJING yang suka menggigit perlu dibunuh. Jangankan ANJING, nyamuk, semut atau lalat kalau menggigit pasti kita bunuh. Tentang ini, dipertemukan hadis riwayat Imam Bukhori dalam "Kitabu Abwab al-Ihshar wa Jaza-u ash-Shayd", hadis nomor 1731. Hadis tersebut menyatakan sebagai berikut: "Lima macam haiwan yang jika membunuhnya tidak ada masalah:
(1) Burung gagak (Ghurab),
(2) Burung Rajawali (Had'ah),
(3) Tikus (Al-Fa'ratu),
(4) Kalajengking ('Aqrabu), dan
(5) ANJING yang menggigit (Aqoor)".
Tetapi, hadis-hadis di atas kurang kuat untuk meneguhkan hak-hak hidup ANJING.

Dalam hadis lain pula ada disebutkan perihal haiwan yang boleh kita bunuh. Antaranya haiwan yang membahayakan manusia dan sering hidup ditengah populasi manusia seperti ular, kalajengking. Haiwan jenis ini dianjurkan untuk dibunuh dalam kondisi apapun. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, Nabi pernah bersabda yang maksudnya: "Lima jenis haiwan yang harus dibunuh, baik di tanah haram maupun di tanah biasa, iaitu:
(1) ular,
(2) kalajengking,
(3) tikus,
(4) ANJING buas, dan
(5) burung rajawali"
Dalam riwayat lain disebutkan juga burung gagak".

Pendapat Ketiga: Tidak Boleh Membunuh ANJING
Berkenaan hukum menyuruh membunuh ANJING, apabila Baginda s.a.w melihat penduduk Madinah Munawarah amat menyayangi ANJING peliharaan mereka, sehingga makan bersamanya (berdekatan) dan tempat tidur pun hampir setempat. Lalulah diperintah bunuh segala ANJING, sehingga sukar bagi ANJING hidup di kota Madinah Munawarah ketika itu.


Lepas itu lalu ditukarkan perintahnya, dengan menyuruh bunuh ANJING hitam sahaja, disebabkan syaitan bersama dengan ANJING hitam, tetapi apabila ANJING hitam dibunuh, dan ANJING yang selain dari hitam telah tidak dibunuh, dan ia tidak didampingi lagi.

Diceritakan oleh Ibnu Umar: "Maka pada satu hari, Baginda s.a.w telah ditanya tentang ANJING hitam. Maka jawabnya: "Apa hubungan saya dengan ANJING?". Dari hari itu semua ANJING apa warna pun, tidak lagi dibunuh" (HR.Muslim:Juz I,Hal 685).

9. Memakan Hasil Buruan ANJING
Menggunakan atau memelihara ANJING untuk keperluan berburu dan menjaga harta benda hukumnya mubah atau boleh, selagi kita menjaga batas-batas dan ketentuan pergualan dengan binatang peliharaan kita tersebut. Banyak hadis-hadis Rasulullah s.a.w menerangkan perkara ini diantaranya:

Hadis dari ‘Adiy Bin Hatim r.a yang maksudnya: “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, aku berkata: "Sesungguhnya kami adalah dari kaum yang berburu dengan menggunakan ANJING".
Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila engkau melepaskan ANJINGMU yang terlatih dan engkau menyebut nama Allah ke atasnya, maka makanlah binatang buruan yang telah ia tangkap untukmu itu sekalipun ANJINGMU itu telah membunuhnya.
Akan tetapi, seandainya ANJINGMU itu memakan binatang buruan tersebut, maka janganlah engkau memakannya, kerana aku khuatir ia menangkapnya untuk dirinya sendiri, dan seandainya terdapat ANJING-ANJING lain bersama ANJINGMU (yang tidak engkau sebutkan nama Allah ke atasnya), maka janganlah engkau memakan binatang buruan tersebut” (HR.Muslim & Bukhari:Juz 7,hal.114).

Dari Abi Tsa'labah Al-Khasyni pula berkata yang maksudnya: "Aku pernah bertanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di kawasan berburu. Aku berburu dengan anak panahku dan dengan menggunakan ANJINGKU yang terlatih (yang diajar) serta ANJINGKU yang belum terlatih, manakah yang boleh untukku?"
Rasulullah s.a.w lalu menjawab: "Apa yang telah engkau buru dengan anak panahmu dan engkau sebut nama Allah sebelumnya, makanlah. Dan yang telah engkau buru dengan ANJINGMU yang tidak terlatih, lalu kamu sempat menyembelihnya, maka makanlah" (HR.Bukhari dan Muslim).

10. Tempat Tinggal ANJING
Meskipun ANJING telah terdidik dan dapat digunakan, serta boleh dipelihara sebagai hal-hal yang tersebut diatas, ANJING harus dipelihara pada tempatnya tersendiri dan tidak pada tempat di mana si pemeliharanya tinggal. Ini adalah sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: "Malaikat tidak mahu masuk ke rumah di mana ada ANJING atau gambar ANJING". Malaikat yang dimaksud adalah Malaikat RAHMAT dan BARAKAH (Faidul Qodir:Juz 6, hal.50).

11. Tidak Boleh Jual Beli ANJING
Diriwayatkan oleh Aun bin Abi Juhaifa yang maksudnya: "Ayahku membeli budak yang kerjanya membekam. Ayahku kemudian memusnahkan alat bekam itu. Aku bertanya kepada ayah mengapa beliau melakukannya. Beliau menjawab bahawa Rasulullah s.a.w melarang untuk menerima wang dari transaksi darah, ANJING dan kasab budak perempuan".

Kesimpulan
Berdasarkan kepada pendapat-pendapat yang dikemukakan, terpulang kepada para pembaca untuk memilih pendapat yang sesuai mengikut kesesuaian keadaan masing-masing dengan tidak membungkus mana-mana pendapat yang tidak menjadi pilihannya.

Kesemua pendapat yang dikemukakan oleh para fuqaha ini adalah benar dan mereka mendapat pahala di atas ijtihad yang mereka kemukakan. Islam itu mudah dan jangan dipersulitkan. Sekiranya dalam hal yang disebutkan di atas merumitkan anda untuk memegang pendapat mazhab kita al-Syafi‘iy, anda masih mempunyai beberapa pendapat mazhab lain yang mungkin lebih sesuai yang dapat memberi keringanan kepada kerumitan yang dihadapi.

Maka boleh bagi yang bertaklid pada Imam al-Syafi‘iy akan bertaklid dalam kejadian yang serupa ini pada Mazhab Hanafi, kerana Mazhab ini hanya mewajibkan sekedar mencucinya secara biasa. Juga Diharuskan bertaklid pada Mazhab Maliki.

Nota Kaki:
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadis al-Shahihah (Maktabah
al-Ma‘arif, Riyadh 1995), hadis no:23.
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam kitab Shahihnya, hadis no:3467 (Kitab hadis-hadis al-Anbiya’).
[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam kitab Shahihnya, hadis no:3318 (Kitab permulaan penciptaan).
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Shahih al-Bukhari – hadis no:172 (Kitab Wudhu, Bab
jika ANJING minum daripada bekas air……).
[5] Ibn Hajar al-‘Asqalani – Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (tahqiq Bin Baz; Dar al-Fikr, Beirut), jld. 1,
ms.369-370 dan al-Albani – Irwa’ al-Ghalel fi Takhrij Ahadis Manar al-Sabil (Maktab al-Islami, Beirut 1985), jld 1,
ms.62.
[6] Wahbah al-Zuhaili – Fiqh al-Islami wa ‘Adilatuhu (Dar al-Fikr, Damsyik 1994), jld. 1, ms.305.
[7] Wahbah al-Zuhaili – Fiqh al-Islami wa Adilatuhu, jld. 1, ms.305.
[8] Sunan al-Daruquthni (Dar al-Ma’refah, Beirut 2001), jld. 1, ms.171.
[9] Thahr al-Tastrib bi Syarh al-Taqrib al-Asanid wa Tartib al-Masanid (Dar al-Fikr, Beirut), jld. 2, ms.123.
[10] Fiqh al-Thaharah (edisi Indonesia atas judul yang sama; al-Kautsar, Jakarta 2004), ms.21-22.
[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no:1337. Rujuk juga Hadis 40 al-Imam al-Nawawi –
hadis no:9.
[12] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 1574 (Kitab al-Masaqah, Bab perintah
membunuh ANJING).
[13] Nail al-Authar min Asrar Muntaqa al-Abrar (Dar al-Kitab al-‘Arabi, Beirut 2000), jld. 5, ms.204.

Rujukan:
1. Surat Universitas Al-Azhar beserta Terjemahannya.
2. Salinan Surat Jawatan Urusan Agama Tgl.13 -12 1956, No.655 / A / 1 / 156.
3. Mufti Sheikh Ahmad Kutty.

No comments:

Post a Comment